KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming hari ini menghadiahkan sebuah arca khas yang dinamakan "Rise Up Together" (Bangkit Bersama) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ulang tahun kelahiran ke-78.
Nga yang juga Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) berkata arca berkenaan yang ditempah khas semasa lawatan rasmi beliau ke Nairobi, Kenya bagi menghadiri Perhimpunan Agung UN-Habitat, melambangkan perpaduan nasional dan keharmonian dalam kepelbagaian rakyat Malaysia.
“Karya seni ini melambangkan kekuatan dan perpaduan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama yang bersatu padu, selari dengan aspirasi utama Kerajaan MADANI untuk memupuk perpaduan dan memacu kemajuan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nga yang juga Timbalan Pengerusi DAP berkata pentadbiran MADANI yang diterajui Anwar berjaya mewujudkan kestabilan politik sepanjang dua tahun kebelakangan ini, sekali gus mengakhiri tempoh ketidaktentuan politik yang menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam tempoh empat tahun.
“Dengan ekonomi yang semakin berkembang, ringgit yang mengukuh serta peningkatan ketara dalam kedudukan daya saing global kita, Malaysia berada di landasan yang tepat. Kita perlu terus memelihara perpaduan dan keharmonian bagi memastikan keamanan dan kemajuan,” katanya.
Nga berkata kedudukan Malaysia di persada antarabangsa juga semakin kukuh, termasuk peranan terbaharu Perdana Menteri sebagai orang tengah dalam usaha persetujuan gencatan senjata antara Thailand dengan Kemboja, yang mendapat pujian daripada pemimpin dunia.
“Menerusi Malaysia MADANI, komuniti berbilang kaum kita mampu menjadi lebih bersatu, makmur dan maju. Perdana Menteri bukan sahaja memperjuangkan prinsip keterangkuman di dalam negara, malah turut menonjolkan kepimpinan Malaysia di peringkat global.
“Saya yakin di bawah kepimpinan beliau, kita akan merealisasikan visi ‘Bangkit Bersama’ dan memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara contoh dalam keharmonian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial