AM

Pendekatan Kolaboratif PBK LKW Perkukuh Pembangunan Luar Bandar - Ahmad Zahid

05/08/2025 06:49 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Pendekatan kolaboratif antara Pihak Berkuasa Koridor (PBK) dan Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) harus dijadikan asas dalam perancangan pembangunan luar bandar yang lebih progresif serta berdaya tahan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata pihaknya percaya melalui perancangan tersusun serta pelaksanaan bersandarkan realiti setempat, ia dapat menjamin pembangunan wilayah yang mapan.

“Saya amat yakin gabungan kekuatan antara PBK sebagai perancang strategik wilayah dan LKW sebagai pelaksana pembangunan komuniti mampu membuka ruang kerjasama yang jauh lebih berimpak serta menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata di bawah naungan Pelan Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2026-2030, kerajaan memberi tumpuan khusus kepada transformasi ekonomi desa dengan penekanan terhadap pewujudan Hab Pelaburan Desa yang bersifat inklusif, kompetitif serta lestari.

Ahmad Zahid turut menekankan bahawa Hab Pelaburan Desa bukan sekadar projek pembangunan fizikal tetapi juga merupakan simbol kemajuan desa baharu yang menghubungkan potensi lokal kepada pasaran serantau dan global.

Beliau berkata antara kerjasama yang telah dilaksana serta potensi kolaborasi strategik antara PBK dengan LKW adalah seperti pembangunan Pusat Ekonomi dan Komuniti Bersepadu (iCON) di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Baling.

Ahmad Zahid berkata kerjasama itu turut meliputi perkongsian sumber antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) untuk Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR INTAN) selain perancangan berasaskan Konsep Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) serta pengukuhan pelancongan desa di Pantai Timur.

Beliau berkata pembangunan TOD dengan sokongan kemudahan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan kerjasama antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

“Selain itu, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) turut menyokong pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di negeri berkenaan.

“Insya-Allah, sinergi ini akan menjadi tonggak penting dalam melakar masa depan luar bandar Malaysia yang lebih progresif dan berdaya tahan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan Mesyuarat Perancangan dan Pembangunan Secara Bersepadu antara PBK dengan LKW yang berlangsung hari ini merupakan manifestasi komitmen kerajaan untuk memperkukuh sinergi antara perancang wilayah dan pelaksana akar umbi dalam merencana masa depan luar bandar Malaysia.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan