PUTRAJAYA, 3 Jun (Bernama) -- Sektor makanan akuatik Malaysia terus berkembang pesat dengan hasil perikanan laut mencecah 1.42 juta tan metrik, akuakultur menghasilkan 510,315 tan metrik manakala perikanan darat mencatatkan 7,497 tan metrik pada tahun lepas.
Jabatan Perikanan Malaysia dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan sektor berkenaan disokong oleh 112,344 nelayan laut, 20,557 penternak akuakultur dan 9,565 nelayan darat.
Industri perikanan menyumbang sebanyak 0.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan jumlah pengeluaran keseluruhan sebanyak 1.94 juta tan metrik bernilai RM17.9 bilion.
“Purata penggunaan ikan per kapita rakyat Malaysia ialah 44.7 kilogram (kg) setahun, jauh melebihi purata global sebanyak 19 kilogram (kg).
“Kadar Sara Diri (SSR) negara bagi ikan adalah tinggi tahun lepas, iaitu 90.7 peratus, menjadikan ikan sebagai sumber utama protein haiwan dalam diet rakyat Malaysia,” menurut Jabatan Perikanan.
Dalam kenyataan sama yang dikeluarkan bersempena dengan ulang tahun ke-25 kerjasama strategik antara Jabatan Perikanan dengan WorldFish, jabatan itu memaklumkan WorldFish telah memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam memajukan sektor perikanan dan akuakultur negara.
“Kerjasama ini telah meningkatkan keupayaan teknikal, merangsang inovasi serta mengangkat profil Malaysia sebagai peneraju global dalam sektor makanan akuatik,” menurut kenyataan itu.
Jabatan berkenaan memaklumkan antara kejayaan utama hasil kerjasama itu ialah projek Genetic Improvement of Farmed Tilapia (GIFT), yang telah meletakkan negara sebagai hab global bagi spesies ikan berkenaan.
“Inisiatif ini telah meningkatkan daya tahan dan produktiviti ikan tilapia serta menyumbang kepada keselamatan makanan negara dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan 2: Sifar Kelaparan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menjelaskan Jabatan Perikanan komited untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama WorldFish melalui penerapan teknologi baharu, pembangunan spesies ikan yang lebih berdaya tahan, pemerkasaan komuniti perikanan serta pengusaha berskala kecil dan peluasan amalan akuakultur mampan yang selari dengan dasar serta amalan terbaik antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial