AM

Setiap Haiwan Liar Ditangkap Akan Dipasang Mikrocip - Perhilitan

13/05/2025 06:11 PM

IPOH, 13 Mei (Bernama) -- Setiap haiwan liar, termasuk gajah yang ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan dipasang dengan alat pengesan atau mikrocip sebelum translokasi dilaksanakan. 

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata langkah itu bagi mengesan pergerakan haiwan tersebut sebelum dilepaskan ke habitat semulajadi. 

Beliau berkata pemasangan cip berkenaan memudahkan Perhilitan untuk mengenal pasti adakah ia gajah yang pernah ditangkap dan dilepaskan atau sebaliknya. 

"Tujuan pemasangan cip ini untuk menjejaki pergerakan dan keberadaan kawanan gajah liar terbabit menggunakan teknologi satelit terutama apabila hidupan liar ini berpindah ke kawasan lain atau keluar dari habitat asal.

“Cip akan dipasang pada gajah yang ditangkap dan kita buat pengukuran morfologi sebelum dikembalikan kepada kawanannya. Kaedah ini akan memudahkan Jabatan Perhilitan menjalankan operasi memantau gajah liar apabila pergerakan dapat dikesan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Yusoff berkata pihaknya sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan berkala untuk menghalau gajah liar, khususnya di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.

“Memang kita ada unit rondaan khas yang memantau atau berkawal di JRTB pada waktu tertentu termasuk penggunaan dron bagi tujuan pengawasan, jika ada gajah kita akan halau masuk ke dalam hutan. 

“Bagi kes ibu gajah yang tular baru-baru ini, pihak kami yakin mamalia tersebut telah masuk ke dalam kawanan lain bagaimanapun kita akan sentiasa pantau lokasi kejadian,” katanya. 

Beliau berkata Perhilitan juga akan menambah lebih banyak papan tanda amaran pelbagai saiz bagi memberi peringatan dan panduan keselamatan kepada pengguna jalan raya. 

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian seekor anak gajah jantan berusia lima tahun mati dirempuh dan digilis lori kontena di Kilometer 80 JRTB Gerik-Jeli di sini Ahad lepas, mendapati masih terdapat kesan pelanggaran di kawasan itu. 

Turut kelihatan najis haiwan yang masih baharu menunjukkan kawasan itu sememangnya menjadi satu daripada 35 lokasi gajah liar yang dikenal pasti Perhilitan. 

--BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan