AM

AKPS Halang Kemasukan 26 Warga Bangladesh Ke Malaysia

06/08/2025 05:03 PM

SEPANG, 6 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 26 lelaki warga Bangladesh telah ditolak daripada memasuki Malaysia kerana tidak memenuhi syarat dan cuba memasuki negara ini menggunakan alasan yang meragukan, menurut kenyataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Kenyataan itu memaklumkan kesemua mereka yang tiba awal pagi semalam melalui dua penerbangan dari Dhaka untuk memasuki Malaysia berjaya dipatahkan oleh Pasukan Pemantau AKPS Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, semalam.

“Berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh lebih awal, kumpulan itu menggunakan dua penerbangan dan laluan kemasukan mereka dipercayai telah disusun atur secara terancang dengan bantuan pihak tertentu.

“Setibanya di pintu ketibaan antarabangsa KLIA Terminal 1, kesemua mereka dipintas oleh Pasukan Pemantau AKPS sebaik sahaja keluar dari pesawat dan terus diiring ke Pejabat Operasi AKPS KLIA1 untuk proses semakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu pihak AKPS KLIA kemudiannya telah mengeluarkan arahan untuk kesemua mereka dihantar pulang ke negara asal pada penerbangan seterusnya.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara Unit Risikan dan Pasukan Pemantau AKPS KLIA Terminal 1 dalam mengekang kemasukan pelawat berisiko tinggi yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam negara.

“Tindakan tegas seperti ini akan diteruskan sebagai sebahagian daripada komitmen memperkukuh kawalan sempadan negara, khususnya di pintu masuk utama seperti di KLIA,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan