AM

KESUMA, HRD Corp Lancar Pusat Sehenti Tenaga Kerja Di Sabah

04/08/2025 07:28 PM

KOTA KINABALU, 4 Ogos (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melancarkan Pusat Sehenti Tenaga Kerja KESUMA Sabah dan Pejabat HRD Corp Sabah di Sutera Avenue di sini hari ini.

Pusat Sehenti Tenaga Kerja Negeri Sabah KESUMA yang pertama seumpamanya di negeri itu menyatukan pelbagai perkhidmatan berkaitan tenaga kerja di bawah satu bumbung. 

Menurut kenyataan HRD Corp hari ini, ia juga bagi meningkatkan akses orang ramai kepada perkhidmatan berkaitan pekerjaan, kemahiran, keselamatan dan perlindungan sosial.

Terletak di Aras 1, Blok A, Sutera Avenue, pusat sehenti itu bertujuan mempermudah urusan pekerjaan dan majikan di Sabah.

“Ia termasuklah menyelaraskan fungsi seperti padanan pekerjaan, permohonan latihan, urusan kesatuan sekerja, khidmat nasihat keselamatan tempat kerja serta penyelesaian pertikaian undang-undang.

“Inisiatif itu dijangka memperkukuh koordinasi antara agensi, memperkasakan bakat tempatan serta menyokong agenda Sabah Maju Jaya dan Malaysia MADANI melalui pembangunan modal insan yang inklusif dan bersepadu,” menurut kenyataan itu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Steven Sim melalui kenyataan sama selepas merasmikan pusat sehenti itu berkata ia mencerminkan pendekatan baharu  KESUMA dalam merakyatkan perkhidmatan dengan prinsip no wrong door policy.

“Semua urusan berkaitan pekerja, isu perburuhan, latihan dan perlindungan sosial kini tersedia di bawah satu bumbung,” katanya.

Beliau inisiatif rintis itu dijangka diperluas ke seluruh negara, yang juga sebahagian daripada usaha rekayasa semula KESUMA untuk memastikan perkhidmatan lebih cekap, inklusif dan mesra rakyat.

Jabatan dan agensi beroperasi di Pusat Sehenti Tenaga Kerja KESUMA Sabah termasuk Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sabah, Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Sabah, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Sabah.

Turut beroperasi di pusat sehenti itu, Mahkamah Perusahaan Sabah, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Sabah, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) JTM Sandakan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sabah, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerajaan Negara (NIOSH) Sabah, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), dan HRD Corp Sabah.   

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan