JENAYAH & MAHKAMAH

Mayat Remaja Hilang Di Sungai Perak Ditemukan

18/02/2025 06:49 PM

PARIT, 18 Feb (Bernama) -- Seorang daripada dua remaja yang hilang selepas terjatuh dalam Sungai Perak di Kampung Tepus dekat sini semalam ditemukan lemas berhampiran lokasi mereka dilaporkan terjatuh.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata mayat Muhammad Nazrin Haidar Mohd Hisham, 16, ditemukan kira-kira 4.45 petang hari ini. 

“Kita menggunakan teknik pusaran air dan melalui kaedah berkenaan mayat seorang daripada mangsa timbul di lokasi kejadian. Mayat dibawa ke tebing dan dicam oleh ahli keluarga.

“Mayat telah dibawa ke Hospital Seri Iskandar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan. 

Terdahulu, mangsa bersama seorang lagi rakannya Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain juga berusia 16 tahun dikhuatiri lemas selepas cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam sungai dalam kejadian pada 4 petang semalam .

 Mereka bersama dua lagi rakan sebelum itu dikatakan bermain bola di beting pasir berhampiran sungai berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon yang melawat lokasi kejadian berkata operasi yang masuk hari kedua hari ini tertumpu dalam radius satu hingga tiga kilometer (km) dari tempat kejadian.

“Walaupun semalam ada sedikit hujan, tetapi paras air tidaklah tinggi dan keadaan pasir pula tiada halangan jadi kemungkinan keberadaan mangsa tidak jauh. 

“Buat masa ini kita tumpu di kawasan berkenaan dan sekiranya Unit Anjing Pengesan (K9) dapat titik lokasi baharu maka tumpuan operasi akan diperluas,” katanya.

Sayani berkata operasi pencarian juga akan menggunakan teknik pusaran air yang menumpukan carian di titik lokasi kejadian bagi mendapatkan petunjuk baharu.

Seramai 69 anggota terdiri polis serta JBPM terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan penduduk kampung dan usaha mencari seorang lagi mangsa masih diteruskan.

--  BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan