KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki warga Bangladesh termasuk seorang pengarah syarikat pelancongan yang berpangkalan di luar negara kerana disyaki mendalangi sindiket kemasukan warga asing.
Menurut sumber, kedua-duanya yang berusia 50-an ditahan dalam satu operasi SPRM sekitar Negeri Sembilan dan ibu negara antara 5 petang hingga 7 malam, semalam.
"Siasatan awal mempercayai kedua-duanya merupakan ejen warga asing yang memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa di KLIA 1 (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1) bagi memudahkan kemasukan warga asing melalui pintu masuk negara," menurut sumber itu.
Modus operandi sindiket itu ialah dengan mendekati pegawai penguat kuasa di KLIA 1 bagi menjalankan aktiviti counter setting bagi memudahkan proses pemeriksaan warga asing ketika mereka masuk.
Kedua-duanya kini direman hingga 20 Julai, selepas perintah reman dikeluarkan Pegawai Pendaftar Kanan Shaik Zuladdruse Merican Sadzol Othman Merican di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial