AM

Malaysia Tuan Rumah Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur 2025 Pada September

15/07/2025 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Malaysia akan menganjurkan Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25) September ini, acara antarabangsa pertama yang menumpukan kepada bandar pintar dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau utama dalam pembangunan bandar berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Dijadual berlangsung dari 17 hingga Sept di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), ekspo berkenaan dijangka menarik kehadiran lebih 2,000 delegasi dan lebih 10,000 pengunjung.

SCEKL25 merupakan edisi pertama Kongres Ekspo Bandar Pintar Dunia untuk rantau Asia Tenggara dan diterajui Kementerian Digital melalui agensinya, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta Digital Nasional Berhad (DNB).

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata acara berkenaan akan menjadi platform strategik bagi penyedia teknologi dan pemain penyelesaian bandar pintar berasaskan AI, sekali gus mengukuhkan kepimpinan Malaysia dalam inovasi digital serantau.

“SCEKL25 bertujuan mempercepat pelaksanaan visi bandar masa depan iaitu lestari, efisien dan terangkum, dengan rakyat menjadi tumpuan dalam setiap inovasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata SCEKL25 mendukung aspirasi Malaysia di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia, selari dengan usaha serantau melalui Rangkaian Bandar Pintar ASEAN, serta melengkapkan hasrat negara untuk menjadi Negara Pintar menjelang 2040.

MDEC, di bawah Kementerian Digital sedang menerajui inisiatif Bandar Pintar melalui projek perintis bandar pintar yang dijalankan di kawasan terpilih di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil dalam kenyataan sama berkata ekspo berkenaan akan menampilkan transformasi Malaysia ke arah masyarakat digital yang saling berhubung, dengan mengetengahkan projek seperti sistem ramalan trafik di Pulau Pinang, pengurusan trafik pintar di Kuala Lumpur, serta penyelesaian geospatial yang menggunakan AI di Sabah.

“Bandar pintar ini akan mengutamakan rakyat dan mengambil kira kepentingan alam sekitar bagi menyediakan perkhidmatan awam yang lebih cepat dan fleksibel. Dengan infrastruktur digital yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan terangkum, syarikat pemula serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dapat berkembang ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif DNB Datuk Azman Ismail berkata penganjuran acara itu memberi manfaat strategik kepada Malaysia, termasuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui pelancongan perniagaan dan menarik pelaburan asing.

“SCEKL25 akan mengangkat imej Malaysia di arena antarabangsa dalam bidang inovasi bandar pintar, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pelancongan perniagaan dan pelaburan asing yang berstrategik,” katanya.

Bertemakan “Bandar AI: Membentuk Masa Depan Digital Kita”, SCEKL25 akan mengetengahkan teknologi terkini, penyelesaian infrastruktur, dan sistem mobiliti yang bersedia untuk masa depan yang bertujuan membina pusat bandar yang inklusif dan berdaya tahan.

Untuk maklumat lanjut, layari www.smartcityexpokl.com.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan