Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- ASEAN mengalu-alukan kesediaan mana-mana Negara Senjata Nuklear (NWS) untuk menandatangani Protokol Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), sebagai manifestasi komitmen dalam memelihara rantau ini daripada senjata nuklear dan sebarang bentuk senjata pemusnah besar-besaran.
Dalam Kenyataan Bersama yang dikeluarkan pada Jumaat selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58, para menteri memaklumkan bahawa Jawatankuasa Eksekutif Suruhanjaya SEANWFZ sedang meneroka kemungkinan membenarkan NWS menandatangani protokol secara individu, dengan syarat mereka memberikan jaminan rasmi secara bertulis dan tidak mempunyai sebarang syarat atau kekangan.
“Kami mengulangi komitmen untuk terus berunding dengan semua NWS, termasuk yang masih mempunyai kekangan dan meningkatkan usaha ke arah menyelesaikan segala isu tertangguh selaras dengan objektif dan prinsip Perjanjian SEANWFZ.
“Kami juga menggalakkan pakar ASEAN meneroka pendekatan bagi merapatkan jurang perbezaan, termasuk kemungkinan melibatkan pakar-pakar dari NWS,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat AMM dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dianjurkan di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 Malaysia dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Pada Khamis, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa China, iaitu satu daripada lima negara yang diiktiraf sebagai NWS di bawah Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) akan menandatangani Protokol SEANWFZ sebaik sahaja semua dokumen berkaitan disiapkan.
Pada 2 Julai lalu, Mohamad turut memaklumkan bahawa Rusia telah menyatakan kesediaan untuk menandatangani protokol tersebut, manakala Amerika Syarikat masih meneliti kandungan perjanjian berkenaan.
Para menteri juga mengulangi komitmen ASEAN untuk meningkatkan profil Perjanjian SEANWFZ di peringkat global, termasuk menerusi kerjasama dengan zon bebas senjata nuklear (NWFZ) lain di dunia.
Sehubungan itu, mereka menyambut baik penerimaan resolusi dwitahunan yang dicadangkan ASEAN mengenai Perjanjian SEANWFZ dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 pada 4 Dis 2023, yang menegaskan semula kepentingan perjanjian dalam menyumbang kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.
“Kami mengarahkan pegawai berkaitan untuk berusaha ke arah penyerahan Resolusi SEANWFZ ke Jawatankuasa Pertama UNGA ke-80 bagi mengulangi sumbangan penting perjanjian ini dalam memperkukuh keselamatan negara-negara dalam zon berkenaan serta keamanan global,” menurut kenyataan itu.
SEANWFZ merupakan satu daripada lima zon bebas senjata nuklear di dunia, selain di Amerika Latin dan Caribbean, Pasifik Selatan, Afrika dan Asia Tengah.
Para menteri turut menyuarakan harapan agar draf tambahan (Addendum) kepada Perjanjian SEANWFZ dapat dikuat kuasa dan kemasukan Timor-Leste ke dalam perjanjian itu dapat direalisasikan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini, sekali gus memperkukuh komitmen rantau ini terhadap pelucutan senjata nuklear dan pencegahan percambahan senjata nuklear.
“Sehubungan itu, kami menekankan keperluan untuk mempercepatkan prosedur undang-undang dalaman masing-masing bagi membolehkan Timor-Leste menyertai perjanjian ini tepat pada masanya,” kata mereka.
Mereka turut menyeru semua negara yang terlibat dengan Perjanjian NPT agar memperbaharui komitmen terhadap pelaksanaan penuh dan berkesan perjanjian, khususnya Perkara VI demi memelihara kredibiliti dan integriti NPT serta mencapai dokumen hasil persetujuan bermakna pada Persidangan Kajian Semula NPT ke-11 pada 2026.
“Dalam hal ini, kami menyokong pencalonan Vietnam sebagai Presiden Persidangan Kajian Semula NPT ke-11 pada 2026,” menurut kenyataan itu lagi.
Para menteri juga menegaskan kepentingan pelaksanaan penuh dan berkesan Perjanjian SEANWFZ, termasuk menerusi Pelan Tindakan untuk Memperkukuh Pelaksanaan SEANWFZ bagi tempoh 2023–2027.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial