INANAM, 11 Julai (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan keseluruhan sebanyak RM195.35 juta untuk pelaksanaan 48 projek pembangunan infrastruktur serta kerja baik pulih di seluruh Sabah melalui Program Pembangunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Rolling Plan 5 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kesemua projek yang telah diluluskan itu akan dilaksanakan dalam tahun ini melalui kawal selia oleh 11 agensi di bawah KPKT.
Beliau berkata antara projek dilaksanakan ialah RM60.39 juta untuk projek pembangunan melibatkan kerja pembinaan dan naik taraf termasuk pembinaan tapak letak kereta di Foh Sang (Kota Kinabalu), pembinaan dewan serbaguna di Ranau, pembinaan tapak tamu dan naik taraf pasar awam di Putatan serta lain-lain kerja baik pulih cerun.
"Sebanyak RM39.78 juta telah diperuntukkan di Bawah Bahagian Perancangan Perumahan KPKT untuk pembangunan 10 Program Residensi Rakyat dan Program Perumahan Rakyat antaranya di Kiansom, Pitas, Lahad Datu, Kota Belud, Beaufort, Kibabaig, Sandakan, Lahad Datu, Kuala Penyu dan Tuaran.
“Peruntukan RM24.48 juta pula bagi pembangunan Rumah Mesra Rakyat di bawah seliaan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan dan menyerahkan kunci Program Residensi Rakyat (PRR) Putera Kiansom Inanam di sini hari ini.
Nga berkata selain itu, RM13.74 juta diperuntukkan di bawah Jabatan Landskap Negara (JLN) untuk tujuan pelaksanaan kerja-kerja naik taraf dan pembangunan taman-taman awam di seluruh Sabah, pembangunan Taman Botani Kota Kinabalu serta pelaksanaan Kajian Pelan Induk Majlis Daerah Keningau.
"Sejumlah RM7.77 juta juga telah diperuntukkan di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah bagi pembinaan dan naik taraf balai-balai di seluruh Sabah, antaranya di Putatan, Lahad Datu, Beaufort, Merotai, Kota Belud dan Semporna," katanya.
Mengulas mengenai PRR Putera Kiansom Inanam, beliau berkata di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI, KPKT akhirnya berjaya merealisasikan projek berkenaan setelah hampir 22 tahun dimulakan.
"Pada 5 Mei 2025, PRR ini telah mendapat Sijil Kelayakan Menduduki Bangunan (OC) bagi empat blok, iaitu Blok A, B, C dan D. Projek Taman PRR Putera Kiansom telah dimulakan sejak 2003 lagi di bawah Rolling Plan 3, RMK8.
“Namun, projek ini tidak dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan akibat masalah kontraktor yang tidak kompeten. Banyak cabaran dan halangan yang telah dihadapi dalam tempoh lebih 22 tahun pelaksanaan projek ini,” katanya.
Beliau berkata walaupun penyerahan hari ini hanya melibatkan empat blok, beliau yakin baki enam blok akan siap menjelang hujung Ogos ini dan bakal dihuni sepenuhnya sebelum hujung tahun ini.
Taman PRR Putera Kiansom merupakan rumah pangsa lima tingkat di atas tanah berkeluasan enam hektar, dengan 1,000 unit kediaman berkeluasan 750 kaki persegi yang membabitkan kos pembangunan sebanyak RM152.9 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial