AM

Titah Adendum: Kerajaan Hormati Pandangan Semua Pihak - PM Anwar

11/07/2025 04:05 PM

PUTRAJAYA, 11 Julai (Bernama) -- Kerajaan menghormati pandangan semua pihak berkaitan Titah Adendum, namun menegaskan dokumen itu tertakluk kepada proses mahkamah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, bagaimanapun berkata buat masa ini proses berkenaan masih dalam urusan mahkamah.

"Titah Adendum ini urusan mahkamah sekarang, tak ada masalah. (Biar) urusan mahkamah. Pandangan masing masing, kita hormati tapi (harus) ikut proses,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahim di sini hari ini.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan UMNO yang memohon titah tahanan rumah ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dapat dilaksanakan selaras kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata ia susulan pengesahan kewujudan Titah Adendum berkenaan oleh Peguam Negara, semalam.

Rabu lepas, media melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan