DUNIA

AMM: Thailand Berusaha Majukan Agenda Serantau, Global

08/07/2025 11:45 PM

BANGKOK, 8 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan merupakan peluang penting bagi Thailand untuk memperkukuh isu serantau dan antarabangsa bersama negara anggota ASEAN serta rakan dialog.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa yang kini berada di Kuala Lumpur berkata beliau akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Vietnam dan Filipina bagi memperkukuh kerjasama perdagangan serta menangani isu serantau. 

AMM bermula Selasa dan akan berlangsung sehingga Jumaat. 

Sepanjang minggu ini, Maris dijadualkan menyertai lebih 20 mesyuarat untuk mempromosi enam keutamaan utama: memperkukuh kesepaduan dan perpaduan ASEAN di tengah perubahan dinamik geopolitik global; meningkatkan kerjasama ekonomi dan digital; menyokong pembangunan mampan; mempromosi keselamatan manusia; serta memperkukuh peranan ASEAN dalam menangani situasi di Myanmar, terutamanya melalui pelaksanaan Konsensus Lima Perkara. 

Mengenai Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM-PMC), Maris berkata ia akan menjadi peluang bagi perbincangan dua hala bersama rakan sejawat dari pelbagai negara untuk meneroka ruang kerjasama dan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau serta global.

Maris turut berkongsi hasil pertemuan dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Vietnam Bui Thanh Son. 

Beliau berkata kedua-dua pihak membincangkan tindakan susulan daripada lawatan bekas Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra ke Vietnam pada Mei lalu, yang menyaksikan kedua-dua negara bersetuju meningkatkan hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif. 

“Ini akan diperkukuh menerusi mekanisme kerjasama dua hala sedia ada seperti Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan Bersama (JTC) dan Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala (JCBC),” katanya.

Kedua-dua menteri bersetuju untuk mempercepat penyediaan pelan tindakan bagi menghasilkan hasil konkrit, khususnya dalam bidang berkepentingan bersama seperti teknologi tinggi dengan tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor, termasuk mengenal pasti pemain sektor swasta utama untuk menerajui usaha itu. 

Maris turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro, dengan menyatakan sokongan penuh Thailand terhadap Filipina selaku Pengerusi ASEAN pada 2026.

Kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan melalui Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) serta meningkatkan kerjasama dalam keselamatan makanan.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menampilkan 24 mesyuarat peringkat menteri membabitkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.

Acara peringkat tinggi selama empat hari itu menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, Negara Peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral dan para pegawai kanan Sekretariat ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan