DUNIA

Trump: Negara Sokong “Dasar Anti-Amerika” BRICS Akan Dikenakan Tarif Tambahan 10 Peratus

07/07/2025 05:15 PM

ISTANBUL, 7 Julai (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada lewat Ahad memberi amaran bahawa mana-mana negara yang menyokong "dasar anti-Amerika" blok ekonomi BRICS akan dikenakan tarif tambahan sebanyak 10 peratus, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Tiada pengecualian untuk dasar ini,” tulis beliau di platform Truth Social miliknya.

Dalam hantaran lain, beliau mengumumkan bahawa surat tarif AS dan/atau perjanjian dengan pelbagai negara di seluruh dunia “akan dihantar bermula 12 tengah hari (1600GMT), Isnin, 7 Julai.”

Pada akhir Januari lalu, Trump berkata “tiada kemungkinan bahawa BRICS akan menggantikan dolar Amerika dalam perdagangan antarabangsa atau mana-mana tempat lain.”

“Kami akan menuntut komitmen daripada negara yang kelihatan bermusuh ini agar mereka tidak akan mencipta mata wang BRICS baharu atau menyokong mana-mana mata wang lain untuk menggantikan dolar AS, atau mereka akan berdepan tarif 100 peratus,” tambahnya.

Negara anggota BRICS telah membincangkan usaha untuk beralih daripada penggunaan dolar sejak beberapa tahun lalu, dengan perbincangan semakin meningkat selepas AS mengenakan sekatan ke atas Rusia pada 2022 susulan permulaan “operasi ketenteraan khas” negara itu di Ukraine.

Kenyataan Trump pada Ahad dibuat ketika para pemimpin dan wakil BRICS berkumpul di Rio de Janeiro untuk sidang kemuncak tahunan ke-17 blok itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan