BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 JENAYAH & MAHKAMAH

Insiden Bot Terbalik: Polis Sudah Rakam Keterangan Tiga Saksi

02/07/2025 02:54 PM

KUALA TERENGGANU, 2 Julai (Bernama) -- Polis telah mengambil keterangan daripada tiga saksi berhubung insiden Sabtu lepas yang menyaksikan tiga maut selepas sebuah bot penumpang terbalik di perairan Pulau Perhentian.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata mereka terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berumur 22 hingga 39 tahun, yang merupakan pemandu bot itu bersama abangnya, dan seorang mangsa kejadian.

Beliau berkata pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung kes terbabit, yang dijangka selesai dalam tempoh kira-kira seminggu.

"Siasatan polis memfokus kepada kejadian… Sama ada terdapat wujud unsur jenayah... Aspek lain seperti bot atau pelanggaran lesen, ia melibatkan agensi lain seperti Jabatan Laut Malaysia," katanya pada Majlis Serah Tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP Arsad Kamaruddin secara rasmi dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Terengganu menggantikan Datuk Wan Rukman Wan Hassan yang bersara wajib.

Dalam insiden Sabtu lepas, tiga penumpang maut selepas bot yang dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak besar di sekitar perairan Pulau Perhentian.

Kejadian berlaku apabila bot berkenaan yang membawa 15 penumpang berumur tiga hingga 40 tahun dalam perjalanan ke Pulau Perhentian Besar, terbalik akibat dipukul ombak besar, dan Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu kemudiannya mengesahkan bahawa pemandu bot berkenaan positif dadah selain mempunyai lima rekod lampau berkaitan bahan terlarang itu.

Azamuddin ketika dihubungi Bernama hari ini berkata suspek berusia 22 tahun kini ditahan reman bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, akan didakwa di mahkamah esok. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan