SEREMBAN, 2 Julai (Bernama) -- Tiga sekeluarga ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Bukit Kristal dekat sini pada 4.53 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata pihaknya menerima maklumat orang awam berkaitan bau busuk dari rumah berkenaan yang berkunci.
“Bertindak atas maklumat itu, pihak polis dan bomba telah ke rumah berkenaan dan memotong kunci mangga pagar rumah terbabit. Pemeriksaan kemudian menemukan tiga mayat dalam keadaan mereput di dua bilik tidur.
“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga mayat merupakan ahli keluarga terdiri daripada seorang lelaki berusia 61 tahun, isterinya 59 tahun dan anak lelaki mereka berusia 30 tahun,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Hatta berkata pemeriksaan forensik menemukan kesan torehan pada lengan kanan anak lelaki pasangan itu manakala mayat ibu bapanya tidak menunjukkan sebarang tanda yang mencurigakan.
“Turut ditemui empat pisau terdapat kesan darah dipercayai digunakan semasa kejadian serta pelbagai jenis ubat yang telah digunakan di atas meja ruang tamu rumah tersebut,” katanya.
Beliau berkata ketiga-tiga mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial