KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Arahan pemakaian tali pinggang keledar kepada pemandu dan penumpang bas ekspres bukan sekadar saranan lisan, malah diambil serius oleh pengusaha bas yang turut mengambil inisiatif menampal notis peringatan di pintu luar dan dalam kenderaan masing-masing.
Pemandu bas ekspres Umar Abdullah, 43, yang menyifatkan arahan itu wajar dilaksanakan berkata pihak pengurusan syarikat juga perlu memainkan peranan untuk mengingatkan setiap pemandu agar membuat pengumuman arahan pemakaian tali pinggang keledar.
“Hari ini bermula arahan diwajibkan, dan kami sebagai pemandu diberi arahan oleh syarikat untuk memberi peringatan kepada penumpang mengenai pemakaian tali pinggang keledar sebelum bas bergerak ke destinasi.
“Pihak pengurusan bas ekspres juga sedang dalam proses menampal notis peringatan di pintu masuk bas dan di dalam bas, supaya penumpang sentiasa ingat akan keselamatan mereka dan denda sekiranya ingkar,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Stesen Sentral Kuala Lumpur di sini.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta persiaran berkuat kuasa hari ini, dan boleh disaman RM300 jika gagal berbuat demikian.
Tinjauan Bernama di Stesen Sentral Kuala Lumpur yang menyediakan perkhidmatan bas ekspres ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Genting Highlands mendapati notis pemakaian tali pinggang keledar turut ditampal di kaunter tiket.
Seorang lagi pemandu bas ekspres, Abdul Hamid Taharim, 53, berpendapat inisiatif JPJ mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar wajar disambut baik masyarakat kerana ia adalah langkah pencegahan bagi mengurangkan kadar kematian sekiranya berlaku kemalangan.
“Sebelum ini tak diwajibkan pakai, jadi orang pun tak pakai. Tetapi sejak kemalangan bas pelajar tempoh hari, rasanya orang ramai dah sedar dan mula memakai tali pinggang keledar untuk keselamatan diri sendiri,” katanya.
Bagi pemandu bas ekspres Yellow Star Express Mohd Azlan Jusoh, 51, yang ditemui di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini berkata denda yang dikenakan adalah wajar sebagai langkah keselamatan.
“Bagi saya, denda RM300 terhadap individu yang tidak memakai tali pinggang keledar adalah wajar kerana saya percaya tidak semua orang mampu membayar jumlah tersebut, jadi mereka pasti akan mematuhi peraturan dan memakai tali pinggang keledar,” katanya.
Mohd Azlan berkata bagi memastikan peraturan itu dipatuhi, pihak pengurusan telah mengarahkan semua pemandu membuat pengumuman mengenai pemakaian tali pinggang keledar sebelum bas bergerak.
Sementara itu, seorang penumpang berasal dari Pulau Pinang Aliah Shamira Yusri, 23, berkata peraturan itu mampu meningkatkan tahap keselamatan penumpang dalam perjalanan jauh.
“Saya sokong tindakan JPJ sebab bas tak ada ciri keselamatan tambahan macam beg udara. Sekurang-kurangnya, pemakaian tali pinggang boleh elakkan kecederaan jika berlaku kemalangan,” kata pelajar institusi pengajian tinggi awam itu.
Pendapat sama disokong pembantu peribadi di sebuah syarikat swasta Nor Azira Syafiza Zuhairul, 26, yang menyifatkan langkah penguatkuasaan itu wajar dilakukan memandangkang kes kemalangan melibatkan bas semakin meningkat.
“Saya berpendapat bahawa peraturan ini wajar diwajibkan kerana masih ramai yang terbiasa tidak memakai tali pinggang keledar ketika menaiki bas, sedangkan amalan tersebut tidak mendatangkan sebarang kesulitan dan amat penting untuk keselamatan penumpang itu sendiri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial