JENAYAH & MAHKAMAH

Naib Presiden MIC Terlibat Dalam Kemalangan Di Bangi

23/06/2025 08:07 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Naib Presiden MIC Datuk T. Murugiah cedera pada tengkuk, badan dan tangan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran persimpangan Bangi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam perjalanan pulang selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MIC Bahagian Bakri di Johor.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya hari ini, kemalangan itu berlaku apabila kenderaan dinaiki Murugiah cuba mengelak sebuah kereta yang berhenti secara tiba-tiba akibat kerosakan.

"Usaha mengelak itu menyebabkan kereta yang dinaiki beliau hilang kawalan dan berpusing beberapa kali sebelum berjaya dikawal semula pemandu peribadi beliau," menurut kenyataan itu.

Selepas kejadian itu, beliau pada mulanya pulang ke rumah namun akibat kesakitan pada bahagian tengkuk, beliau kemudiannya mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat keretakan pada tulang tengkuk dan doktor menasihatinya untuk berehat serta mengurangkan pergerakan di bahagian itu. Keretakan tersebut dijangka pulih secara dalam tempoh tertentu," menurut kenyataan itu.

Murugiah turut menzahirkan penghargaan kepada ahli keluarga, sahabat dan ahli MIC yang mengambil berat dan memaklumkan beliau kini berada dalam keadaan stabil.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan