JOHOR BAHRU, 9 Jun (Bernama) -- Lelaki warga Singapura yang ditahan semalam bagi membantu siasatan kes pertengkaran dengan seorang individu dan perbuatan khianat terhadap sebuah kereta di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai direman selama empat hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama hari ini.
“Suspek direman selama empat hari hingga 12 Jun ini,” katanya ringkas.
Suspek berusia 40 tahun itu ditahan semalam susulan laporan berkaitan kejadian berkenaan yang melibatkan pertengkaran dengan seorang lelaki tempatan serta tindakannya menendang sebuah kereta sehingga mengalami kerosakan.
Hasil siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan didapati negatif dadah dengan lelaki itu dibawa ke Mahkamah Johor Bahru hari ini untuk proses permohonan reman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 509 kanun sama kerana mengaibkan kehormatan seseorang.
Terdahulu, pihak polis mengesan satu video tular di Facebook memaparkan dua lelaki sedang bertengkar di kawasan tepi jalan dan kesan remuk pada sebuah kereta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial