JOHOR BAHRU, 3 Jun (Bernama) -- Lapan individu termasuk seorang wanita yang tular di media sosial dikenali sebagai “Bella”, menukar pengakuan bersalah kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh, pemerasan dan mengurung seorang lelaki secara paksa di sebuah rumah di Plentong, April lepas.
Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 25; Ahmad Rushdi Jumadi, 23; Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25; Muhammad Haikal Zulkarnain, 19; Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 23; Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 20; Syamsul Hamiziey Saiful Razali, 19; dan Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman, 22, membuat pengakuan itu, selepas tiga pertuduhan itu dibacakan semula di hadapan Majistret A Shaarmini hari ini.
Pada 25 April lepas, kesemua mereka membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab atas ketiga-tiga tuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama menakutkan secara jenayah dengan ugutan bunuh terhadap Muhammad Faris Syahmi Mohd Ridzwan, 22.
Untuk pertuduhan kedua, mereka bersama-sama dua orang lagi yang masih bebas telah melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Muhammad Faris Syahmi, iaitu tidak akan berhenti memukul mangsa sehingga mangsa membayar RM3,000.
Mereka juga melakukan pemerasan terhadap Muhammad Faris Syahmi dengan tidak berhenti memukul dan melepaskannya, hingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM650 melalui akaun e-dompet dan kunci motosikal Yamaha Y16 kepada Mohamad Amierul Hakim.
Bagi pertuduhan ketiga, kesemua tertuduh serta dua lagi yang masih bebas didakwa secara bersama-sama mengurung mangsa.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid pula, tujuh lelaki berkenaan juga menukar pengakuan kepada tidak bersalah terhadap pertuduhan keempat, iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa sama bersama-sama seorang lagi rakan yang masih bebas.
Kesemua kesalahan berkenaan dilakukan di sebuah pangsapuri di Plentong, Masai, di sini, antara 10 malam hingga 4 pagi, pada 18 hingga 19 April lepas.
Pertuduhan pertama hingga ketiga mengikut Seksyen 506, 384 dan 342 Kanun Keseksaan, manakala pertuduhan keempat mengikut Seksyen 323 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh Syamsul Hamiziey diwakili peguam Nurul Nadia Yunos, Mohamad Amierul Hakim diwakili peguam T Haressh, manakala Muhammad Aqmal Hafifi dan Ahmad Rushdi Jumadi pula masing-masing diwakili peguam Khairulazwad Sariman dan Syahmi Nawawi.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman dan Nur Fatihah Mohd Nizam.
Mahkamah menetapkan 17 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam bagi tertuduh yang tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial