DUNIA

Rakyat Korea Selatan Mengundi Presiden Baharu Susulan Perintah Darurat

03/06/2025 12:01 PM

SEOUL, 3 Jun (Bernama-Yonhap) -- Rakyat Korea Selatan keluar mengundi pada Selasa dalam pilihan raya presiden yang menyaksikan pertandingan antara calon liberal yang mahu menghukum pihak yang bertanggungjawab atas cubaan perintah darurat oleh bekas Presiden Yoon Suk Yeol, dan calon konservatif yang mahu menghentikan tindakan melulu lawannya, lapor Agensi Berita Yonhap.

Pilihan raya ini berlangsung tepat enam bulan selepas Yoon mengisytiharkan perintah darurat secara mengejut - tindakan yang membangkitkan kenangan gelap rejim tentera masa lalu dan menjerumuskan negara ke dalam krisis ekonomi dan politik terburuk dalam beberapa dekad.

Lee Jae-myung, calon dari Parti Demokratik (DP) yang berhaluan liberal, berkempen dengan janji untuk menentang "kumpulan pemberontak" yang diketuai Yoon susulan pemecatan beliau daripada jawatan presiden kurang tiga tahun dalam tempoh lima tahun mandatnya.

Kim Moon-soo, calon dari Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang konservatif, pula menyerang gaya kepimpinan Lee yang lantang dan beberapa perbicaraan mahkamah yang sedang dihadapinya, sambil berjanji untuk membebaskan negara daripada "diktator."

Pengundian bermula pada 6 pagi dan berakhir pada 8 malam di 14,295 pusat mengundi di seluruh negara, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC).

Seramai 44,391,871 pengundi berdaftar layak mengundi, termasuk lebih 15.4 juta orang yang telah mengundi awal dalam tempoh dua hari minggu lalu.

Kadar keluar mengundi awal ialah 34.74 peratus, kadar kedua tertinggi sejak sistem itu diperkenalkan pada 2014.

Pengiraan undi akan bermula sebaik sahaja pusat mengundi ditutup. Keputusan dijangka diketahui sekitar tengah malam, manakala pengiraan dijangka selesai sekitar 6 pagi Rabu, menurut NEC.

Sebaik sahaja pengiraan selesai, NEC akan mengadakan mesyuarat pleno antara 7 dan 9 pagi untuk meluluskan keputusan secara rasmi.

Memandangkan pilihan raya ini diadakan lebih awal untuk menggantikan Yoon, presiden baharu akan mengangkat sumpah serta-merta tanpa tempoh peralihan kuasa.

Majlis angkat sumpah dijangka berlangsung beberapa jam kemudian di Dewan Kebangsaan Korea Selatan, namun butiran lanjut akan diumumkan selepas keputusan rasmi diketahui.

Lima calon bertanding merebut jawatan tertinggi negara, selepas dua calon menarik diri semasa tempoh kempen.

Selain Lee dan Kim, calon lain ialah Lee Jun-seok dari Parti Reformasi Baharu, Kwon Young-guk dari Parti Buruh Demokratik, dan calon bebas Song Jin-ho.

Tinjauan sebelum larangan penyiaran hasil undian minggu lalu menunjukkan Lee dari DP mendahului dengan selesa sekitar 10 mata peratusan berbanding Kim, walaupun jurang semakin mengecil.

Sokongan kepada Lee berada dalam lingkungan 40 peratus, diikuti Kim dalam lingkungan 30 peratus, dan Lee Jun-seok sekitar 10 peratus.

Kedua-dua Lee dan Kim menjadikan pertumbuhan ekonomi sebagai keutamaan, khususnya dalam pembangunan industri kecerdasan buatan.

Dari segi keselamatan, Lee berikrar untuk mengamalkan diplomasi pragmatik sesuai dengan perubahan persekitaran global, manakala Kim menekankan keperluan memperkukuh keupayaan pencegahan terhadap ancaman nuklear Korea Utara.

Mereka juga bersetuju bahawa perlembagaan perlu dipinda bagi menggantikan sistem satu penggal lima tahun presiden kepada dua penggal empat tahun.

Kim berjanji untuk memendekkan tempoh pentadbirannya kepada tiga tahun bagi menyelaraskan pilihan raya presiden dengan pilihan raya Parlimen bermula 2028.

Lee pula mencadangkan satu referendum diadakan bagi meminda perlembagaan dan melaksanakan perubahan itu mulai 2030.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan