KUALA LUMPUR, 27 Mei ( Bernama) -- Sekretariat Induk Logistik ASEAN bertekad mempertingkatkan mutu pelaksanaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini, berasaskan kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berakhir hari ini.
Ketua Sekretariat Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin berkata pasukan sekretariat akan menggunakan penilaian pasca acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan bermula 22 Mei lepas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sebagai panduan bagi penganjuran akan datang.
“Secara jujurnya, saya berasa amat berpuas hati sebab apa yang kami rancang sejak hampir lima bulan yang lalu telah diterjemahkan dengan sepenuhnya.
“Saya rasa cabaran sebenarnya nanti pada Oktober. Kita sudah lihat keupayaan dan bagaimana seketariat bekerjasama dengan agensi-agensi lain, kita akan menilai kelemahan yang kita ada dan tugas saya dengan rakan lain ialah untuk memperbaiki kelemahan itu,” katanya ketika menjadi tetamu program Siaran Khas Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 terbitan Bernama TV, malam ini.
Sementara itu, beliau berkata antara cabaran pihak sekretariat sepanjang menganjurkan sidang kemuncak ini ialah menampilkan imej Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang mengamalkan toleransi serta keamanan melalui prinsip MADANI di peringkat Asia Tenggara.
“Kita mahu bawa aspirasi Perdana Menteri ke pentas ASEAN, termasuk menerusi logo, kerana itulah kita ketengahkan dengan warna biru, merah dan kuning yang bukan saja melambangkan ASEAN tetapi juga Malaysia,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan ASEAN sebagai tunjang dasar luar negara, khususnya dari segi sumbangan terhadap ekonomi dan kestabilan serantau melalui pelbagai bentuk kerjasama.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di bawah Kepengerusian Malaysia tahun ini yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Tahun ini juga menandakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial