KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, masih menanti pengesahan daripada Amerika Syarikat (AS) berhubung cadangan tarikh bagi Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata inisiatif itu secara rasmi dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang meminta supaya sidang kemuncak itu diadakan tahun ini.
“Kami masih menunggu maklum balas daripada AS, mudah-mudahan ada berita baik dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS boleh diadakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 esok.
Pada 5 April, Mohamad berkata beliau menerima panggilan telefon daripada Setiausaha Negara AS Marco Rubio untuk membincangkan antara lain, hubungan dua hala Malaysia-AS di bawah Rangka Kerja Kerjasama Komprehensif.
Beliau berkata kedua-dua pihak turut berbincang dan merancang tarikh yang sesuai untuk mengadakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS bersempena dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di KLCC pada 26 dan 27 Mei ini bersama dengan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung kalinya, yang mencerminkan peningkatan penglibatan ASEAN dengan rakan kongsi strategik antarabangsa penting.
Sidang Kemuncak dan mesyuarat berkaitannya ini menghimpunkan pemimpin negara ASEAN untuk membincangkan isu serantau dan melakar hala tuju masa depan kerjasama blok itu, di samping menangani pelbagai isu mendesak serantau dan antarabangsa, dengan krisis yang berterusan di Myanmar kekal menjadi perhatian utama bagi negara anggota.
Dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, selepas menerajui blok serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial