JENAYAH & MAHKAMAH

Berang Diminta Alihkan Barang Dipercayai Punca Suspek Lepaskan Tembakan - Mohd Shuhaily 

09/02/2025 07:25 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Siasatan awal polis mendapati suspek melepaskan tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor malam tadi, dipercayai akibat berang ditegur pekerja pembersihan supaya mengalihkan barang yang diletakkan di kawasan kejadian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ketika kejadian, suspek seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu juga disyaki berada di bawah pengaruh dadah.

“Bagaimanapun, motif sebenar tiada (dikenal pasti) lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hadir ke Majlis Perasmian dan Pelancaran Perayaan 60 Tahun Silat Cekak Pusaka Hanafi di Wisma Radio RTM hari ini.

Mohd Shuhaily berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 10.50 malam semalam, yang menyebabkan seorang pekerja pembersihan cedera.

Beliau berkata siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan polis Selangor dengan bantuan Bukit Aman dan beliau yakin kes berkenaan dapat selesaikan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan hari ini dilaporkan berkata suspek yang sedang diburu  merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 30-an, berkulit cerah dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan