EKONOMI

DAGANGAN BORONG, RUNCIT BAGI APRIL NAIK 6.6 PERATUS KEPADA RM144.9 BILION

11/06/2024 04:06 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia bagi April 2024 meningkat sebanyak 6.6 peratus tahun ke tahun kepada RM144.9 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu didorong oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 5.5 peratus atau RM3.3 bilion kepada RM63.8 bilion.

“Perdagangan borong juga meningkat 4.8 peratus atau RM2.9 bilion kepada RM63.8 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor yang tumbuh 18.1 peratus atau RM2.6 bilion kepada RM17.3 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong dan runcit turun -0.6 peratus berbanding bulan sebelumnya, dipengaruhi oleh kenderaan bermotor dan perdagangan borong, masing-masing merosot -8.2 peratus dan -0.4 peratus.

Mengulas prestasi subsektor, beliau berkata pertumbuhan 5.5 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 5.2 peratus atau RM1.2 bilion kepada RM24.7 bilion.

Mohd Uzir berkata bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor itu meningkat 1.5 peratus, disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (1.8 peratus), jualan runcit di kedai pengkhususan (1.6 peratus), jualan runcit bahan api kenderaan (2.9 peratus.

Bagi subsektor perdagangan borong, kenaikan 4.8 peratus tahun ke tahun pada April disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM1.0 bilion atau 4.2 peratus kepada RM23.9 bilion.

Sebaliknya bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong jatuh -0.4 peratus.

“Pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 18.1 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada April lepas dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat 26.5 peratus atau RM1.8 bilion kepada RM8.6 bilion.

“Ini diikuti oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (11.8 peratus) dan penyelenggaraan serta pembaikan kenderaan bermotor (13.1 peratus),” katanya.

Bagaimanapun, perbandingan bulanan menyaksikan subsektor ini susut 8.2 peratus, disebabkan oleh jualan kenderaan bermotor (13.4 peratus) manakala jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (21.2 peratus).” 

Dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit bagi April 2024 menyaksikan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.5 peratus, disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (17.1 peratus), perdagangan runcit (3.5 peratus) dan perdagangan borong (2.7 peratus).

Selain itu, indeks volum pelarasan musim kembali positif 5.5 peratus bulan ke bulan, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan