DUNIA

MENTERI LUAR SAMPAIKAN SUMBANGAN US$1 JUTA AAKRP BANTU RAKYAT GAZA

11/06/2024 12:37 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini dalam rangka lawatan kerja ke Jordan mewakili rakyat Malaysia menyampaikan cek simbolik bernilai US$1,000,000 kepada dua pertubuhan di Jordan bagi membantu rakyat Palestin di Gaza mendapatkan rawatan kanser.

Mohamad menerusi perkongsian di Facebook beliau pada Selasa berkata kedua-dua pertubuhan itu ialah Pertubuhan Kebajikan Hashemite Jordan (JHCO) dan Pusat Kanser Raja Hussein (KHCC) dan setiap pertubuhan menerima US$500,000.

Katanya sumbangan itu adalah hasil solidariti dan keprihatinan rakyat Malaysia melalui sumbangan ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP). 

“Malaysia komited untuk bekerjasama dengan JHCO dalam usaha menghulurkan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin, kini dan pada masa akan datang,” katanya. 

Menurut Mohamad, dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung JHCO Dr Hussein Mohammad Al-Shebli, beliau dimaklumkan bahawa JHCO menggunakan Jambatan Raja Hussein, satu-satunya laluan darat ke Gaza sejak penutupan pintu sempadan Rafah di Mesir pada 7 Mei, 2024.

Beliau berkata JHCO memainkan peranan penting dalam menguruskan penghantaran bantuan dari pelbagai organisasi antarabangsa dan negara penyumbang.

Menurut Mohamad, beliau turut singgah melawat pusat rawatan kanser KHCC dan disambut mesra oleh Pengerusi Pemegang Amanah Puteri Ghida Talal.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Nisreen Qatamesh dan Pengarah Kutipan Sumbangan Abeer Al-Maghrabi.

Menurut beliau KHCC, yang ditubuhkan pada 1997, menyediakan rawatan kanser percuma dan penyelidikan bertaraf dunia.

Pusat itu kini sedang merawat 300 pesakit kanser rakyat Palestin.

Mohamad memberitahu JHCO dan KHCC sangat menghargai sumbangan yang diberikan rakyat Malaysia sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin. 

“KHCC juga berharap dapat menjalin kerjasama dengan Persatuan Kanser Negara (Malaysia) untuk memperkukuh usaha rawatan dan penyelidikan kanser di masa hadapan,” katanya.

Mohamad berkata dalam kedua-dua pertemuan yang berlangsung di Jordan beliau menekankan komitmen Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan dan kesihatan kepada rakyat Palestin serta mengukuhkan kerjasama dengan institusi-institusi terkemuka di Jordan. 

Beliau turut berharap semoga kerjasama yang terjalin ini terus membawa harapan dan bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Palestin di Gaza.

Sementara itu, Kementerian Luar (Wisma Putra) menerusi hantaran di Facebook pada Selasa berkata memanfaatkan kedudukan Jordan yang berhampiran dengan Gaza dan infrastruktur bantuan yang kukuh, kerjasama Malaysia dengan JHCO, termasuk perolehan bekalan penting seperti makanan, bekalan perubatan dan keperluan penting lain.

“Bekalan ini penting untuk kelangsungan hidup dan kesejahteraan rakyat Gaza,” katanya.

Menurut Wisma Putra, sumbangan US$500,000 kepada KHCC  bertujuan untuk membantu dalam menampung kos rawatan untuk rakyat Palestin.

Mohamad berada di Jordan untuk menghadiri Persidangan Peringkat Tinggi “Panggilan Untuk Bertindak: Respons Kemanusiaan Segera untuk Gaza" yang dianjurkan bersama oleh Raja Jordan, Raja Abdullah II, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres yang akan berlansung Selasa (11 Jun).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan