SARIKEI, 8 Jun (Bernama) -- Kehangatan bahang temasya sukan berprestij Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI 2024 yang akan berlangsung di Sarawak Ogos depan mula dirasai masyarakat di Bahagian Sarikei dengan perasmian Larian Baton SUKMA di Kompleks Sukan Integrasi di sini hari ini.
Bahagian Sarikei merupakan destinasi ketujuh siri jelajah larian baton SUKMA bagi mempromosikan temasya dwitahunan yang akan membabitkan penyertaan kira-kira 15,000 atlet dan pegawai dari semua negeri dan juga kontinjen jemputan Brunei.
Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abdul Wahab telah menyempurnakan simbolik lepas mula larian baton tersebut yang disertai kira-kira 500 pelari mewakili agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Bahagian Sarikei yang berkumpul di kompleks tersebut awal pagi hari ini.
Larian baton tersebut diketuai oleh dua ikon sukan kelahiran Sarikei iaitu Ibrahim Japar dan Lu Teck Yii melibatkan jarak larian sejauh 4.4 kilometer (km) yang bermula dan berakhir di Kompleks Sukan Integrasi di sini.
Yusuf dalam ucapannya menyeru masyarakat di Bahagian Sarikei supaya tidak ketinggalan untuk meraikan SUKMA dengan memberikan sokongan padu kepada semua atlet dan datang beramai-ramai menyaksikan beberapa acara dipertandingkan di arena berhampiran.
"Saya menyeru kepada semua warga Bahagian Sarikei agar turut meraikan temasya berprestij ini dengan memberi sokongan padu kepada semua atlet yang bertanding di arena-arena berhampiran khususnya di Bahagian Betong, Sibu dan Mukah tanpa mengira negeri asal mereka.
“Tunjukkan semangat kesukanan serta perpaduan yang tinggi sebagai rakyat Sarawak yang kita cintai ini," ujarnya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom, ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing dan Residen Bahagian Sarikei Michael Ronnie Langgong.
Siri jelajah larian baton SUKMA dan PARA SUKMA XXI Sarawak 2024 akan diteruskan ke Bahagian Betong pada Ahad ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial