SUKAN

Piala Thomas: Malaysia Jumpa Jepun Di Suku Akhir Esok

02/05/2024 01:33 AM

CHENGDU (China) 1 Mei (Bernama) -- Malaysia dijangka berdepan laluan getir apabila diundi bertemu Jepun pada perlawanan suku akhir Piala Thomas 2024 di Gimnasium Pusat Sukan Hi-Tech di sini esok.

Dalam majlis undian di sini malam ini, juara Kumpulan C dan juara 14 kali Indonesia diundi bertemu naib juara Kumpulan A, Korea Selatan manakala tuan rumah China (juara 10 kali) bertemu India.

Jaguh Eropah Denmark akan menentang Taiwan untuk satu lagi saingan suku akhir.

Esok, aksi suku akhir Malaysia-Jepun dan China-India akan berlangsung jam 5 petang.

Perlawanan Indonesia-Korea Selatan dan Denmark-Taiwan akan berlangsung Jumaat ini.

Pada edisi lepas di Nonthaburi, Thailand dua tahun lalu, skuad Piala Thomas negara menamatkan kempen di suku akhir apabila tewas 3-2 di tangan India.

India muncul juara pada edisi tersebut selepas menewaskan Indonesia 3-0 di pentas final.

Malaysia memulakan kempen Kumpulan D dengan bergaya apabila membelasah Hong Kong Sabtu lalu dan Algeria pada hari berikutnya dengan keputusan sama 5-0 sebelum tunduk kepada Denmark, 2-3 semalam.

Mengulas mengenai undian tersebut, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky percaya perseorangan kedua dan ketiga negara memp[unyai peluang sama rata dengan Jepun, walaupun kem perseorangan dianggap tidak mantap ketika ini.

“ Peluang beregu pula 50-50. Apa yang perlu kita kuatkan ialah fokus, komitmen, psikologinya, itu sahaja yang kita perlu buat (sebelum suku akhir),” katanya kepada media Malaysia, di sini.

Pemain perseorangan profesional Lee Zii Jia akan menjadi harapan negara untuk  menyumbang mata pertama  selaku satu-satunya pemain negara menduduki ranking ke-10 dunia manakala yang lain berada di luar kelompok 30 teratas seperti Leong Jun Hao (37) diikuti Cheam June Wei (63) dan Justin Hoh di ranking ke-233.

Di atas kertas, Jepun berada di hadapan dalam kem perseorangan kerana mempunyai Kodai Naraoka (no. 6 dunia) diikuti oleh Kenta Nishimoto (12), Koki Watanabe (21) dan bekas dua kali juara dunia, Kento Momota.

Perlawanan separuh akhir berlangsung Sabtu ini dan final pada Ahad.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan