AM

UTM LANCAR HAB MALAYSIA ERASMUS+

26/04/2024 08:47 AM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dilantik sebagai Pusat Tumpuan Negara Erasmus+ Malaysia  dan pada masa sama, melancarkan Hab Malaysia Erasmas+ sewaktu penganjuran Perbincangan Meja Bulat Duta-Duta 2024 di Pejabat UTM International semalam.

Kenyataan UTM memaklumkan Hab Malaysia Erasmus+, yang beroperasi di UTM Kuala Lumpur, bakal menjadi pusat perbincangan dan maklumat sehenti bagi semua perkara berkaitan Hab Malaysia Erasmus+.

“Ia bermatlamat untuk meningkatkan kerjasama antara universiti dengan para diplomat di Malaysia yang mampu memberi bimbingan dan panduan kepada pihak yang berada dalam sektor pendidikan tinggi,” menurut kenyataan itu.

Naib Canselor UTM Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata beliau berbesar hati atas pemilihan universiti itu sebagai Pusat Tumpuan Negara Erasmus+ Malaysia oleh KPT dan menjangkakan pengukuhan kerjasama dua hala di peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau berkata buat masa ini, UTM menerajui empat tindakan Pembinaan Kapasiti dalam Pendidikan Tinggi (CBHE) yang menyokong projek usaha sama antarabangsa melalui kerjasama yang melibatkan pelbagai pihak dengan 23 universiti dari sembilan negara menerusi pelbagai inisiatif Erasmus+.

“Kami mengalu-alukan Naib-Naib Canselor dan Pejabat Antarabangsa Universiti untuk menjalinkan kerjasama bagi meningkatkan keterlihatan dalam pelbagai inisiatif Erasmus+ menerusi usaha sama dengan universiti terkemuka di seluruh dunia,” katanya.

Dengan hampir 5,000 pelajar antarabangsa, UTM mengakui akan kepentingan mengekalkan komunikasi rapat dan berterusan dengan para duta di Malaysia serta memperkukuh, merancakkan dan memperkasa institusi pendidikan tinggi Malaysia ke arah mencapai kesohoran global.

Bertemakan ‘Wadah Penyelesaian Inovatif Transformasi Globalisasi dalam Pendidikan Tinggi, perbincangan meja bulat itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.

Duta Besar dan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia Michalis Rokas bersama-sama 18 duta, Naib-Naib Canselor dan  wakil dari pejabat antarabangsa universiti di seluruh Malaysia adalah antara 150 peserta yang menghadiri acara itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan