DUNIA

Gaza Freedom Flotilla Disertai Cucu Nelson Mandela, Gesa Dunia Sekat Kapal Israel Berlabuh

25/04/2024 10:42 AM

Oleh Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof

ISTANBUL, 25 April (Bernama) -- Cucu Nelson Mandela menyeru masyarakat dunia untuk terus memberi tekanan dan menyekat kapal milik Israel dari memasuki pelabuhan mereka bagi mencapai gencatan senjata dan menghentikan pengeboman di Gaza.

Mandla Mandela yang juga Ahli Parlimen Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), berkata pihak berkuasa tempatan juga perlu tegas dalam menolak dan membatalkan permit yang dimohon oleh Israel untuk berlabuh di pelabuhan mereka. 

“Hari ini kami memanggil mereka yang bekerja di pelabuhan seluruh dunia untuk memastikan tiada produk atau barangan dan kapal dari Israel masuk melalui pelabuhan mereka. 

“Kami ingin menyeru kepada masyarakat global, semua pelabuhan mesti membatalkan permit Israel masuk ke pelabuhan mereka supaya tidak boleh terus berdagang dengan bebas,” katanya ketika ditemui wartawan di Istanbul, Rabu.

Disember lepas, Malaysia telah memutuskan untuk menyekat dan melarang syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di Malaysia. 

Larangan kekal yang berkuat kuasa serta-merta itu sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.

Meskipun tindakan itu dilihat sebagai langkah yang “kecil”, ia mampu mengubah corak ekonomi Israel khususnya sekatan di pelabuhan-pelabuhan utama dunia.

“Kita telah melihat tindakan ‘kecil’ ini boleh dilakukan. Memandangkan kerajaan tidak melakukan tindakan secukupnya, kami sebagai aktivis kemanusiaan berupaya membawa perubahan yang diperlukan”, ujarnya lagi.

Cucu kepada Presiden pertama Afrika Selatan Nelson Mandela itu akan menyertai pelayaran menghantar bantuan kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) “Break The Siege: Mission To Gaza 2024” yang dijangka memulakan pelayaran pada 26 April (Jumaat).

Datuknya merupakan seorang aktivis antiaparteid dan ahli politik yang pernah dipenjarakan selama 27 tahun atas peranannya dalam menentang sistem aparteid yang merampas hak-hak kaum kulit hitam.

Beliau dipilih menjadi Presiden Afrika Selatan yang pertama yang terpilih secara demokratik menjadikan beliau presiden kulit hitam pertama negara itu.

Lapan belas warga Malaysia ketika ini menyertai masyarakat awam antarabangsa melakukan pelayaran menaiki flotila untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza melalui jalan laut berikutan situasi kemanusiaan yang teruk di rantau itu.

Mereka terdiri daripada doktor, aktivis kemanusiaan dan pengamal media.

Antara pengamal media Malaysia yang menyertai flotila itu ialah penulis yang juga  wartawan penyiaran daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof dan jurukamera Bernama TV Mohammad Nulhakim Jailan.

Aktivis dari 30 negara termasuk Malaysia kini berkumpul di Istanbul sejak 18 April untuk persiapan akhir sempena misi “Break the Siege: Freedom Flotilla Mission to Gaza 2024” itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan