EKONOMI

LEBIH 14,000 PELAN PERLINDUNGAN TAKAFUL PRUBSN DIBELI MELALUI AKAUN 2 KWSP

17/04/2024 10:38 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Lebih 14,000 pelan perlindungan takaful telah dibeli daripada Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN) oleh ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah inisiatif i-Lindung.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PruBSN Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata lanjutan kedua inisiatif i-Lindung KWSP itu akan membantu lebih ramai orang dan ahli keluarga mereka mempunyai perlindungan daripada sebarang keadaan yang tidak dijangka.

"Kami percaya lebih ramai ahli daripada golongan pertengahan mendapatkan perlindungan berikutan pengumuman KWSP bahawa mereka kini boleh menggunakan dana daripada Akaun 2 untuk membeli produk takaful untuk diri mereka sendiri dan ahli keluarga terdekat," katanya kepada Bernama.

Menurut KWSP, lebih 102,301 ahli telah membeli 118,166 polisi dan produk takaful melalui platform i-Lindung sejak dilancarkan pada Julai 2022 hingga Disember 2023.

Pada Februari 2024, dana persaraan itu memperluaskan perlindungan polisi kepada ahli keluarga terdekat.

Wan Saifulrizal berkata PruBSN dalam masa yang sama memahami keperluan mendesak untuk membangunkan pelan perlindungan dengan teliti bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan dan sara hidup.

Melalui kerjasama dengan KWSP, PruBSN menawarkan empat pelan perlindungan takaful, iaitu PruBSN Lindung, PruBSN Lindung Famili, PruBSN Cegah, dan PruBSN Cegah Famili -- meliputi perlindungan takaful hayat dan penyakit kritikal pada premium yang berpatutan.

Mengenai perkembangan lain, Wan Saifulrizal berkata halangan seperti inflasi perubatan mungkin memberi kesan kepada tahap kemampuan orang ramai bagi mendapatkan pelan perlindungan perubatan.

"Kami percaya beberapa penetapan semula harga dilakukan pada pelan perlindungan perubatan tahun ini disebabkan oleh inflasi perubatan. "Oleh itu, kami akan menyediakan beberapa pilihan seperti menyemak liputan, atau mungkin memilih pelan yang lebih berpatutan untuk meneruskan perlindungan," katanya.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa pelaksanaan cukai perkhidmatan tambahan daripada enam peratus kepada lapan peratus juga merupakan antara halangan baharu bagi industri takaful.

Ia mungkin tidak memberi kesan kepada individu, bagaimanapun, syarikat yang berhasrat untuk menyediakan perlindungan takaful sebagai sebahagian daripada faedah kepada pekerja mereka, perlu membayar lebih disebabkan cukai perkhidmatan tambahan itu, katanya.

"Jadi, kami perlu memastikan pakej kami disasarkan dan mempunyai harga yang bersesuaian kepada segmen yang mampu mendapatkan pelan perlindungan itu," kata Wan Saifulrizal.

Beliau menyatakan bilangan sijil yang dikuatkuasakan untuk suku pertama 2024 semakin meningkat walaupun berlaku pelarasan harga. PruBSN kini mempunyai lebih daripada dua juta pelanggan sejak penubuhannya pada tahun 2006.

Persatuan Takaful Malaysia (MTA) baru-baru ini mendedahkan bahawa perniagaan takaful keluarga menambah 1.13 juta sijil baharu dengan sumbangan kasar sebanyak RM9.59 bilion pada 2023 berbanding 1.31 juta sijil baharu dengan sumbangan kasar RM10.06 bilion pada 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan