PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memanggil pihak yang dikenal pasti terlibat diskusi agama bersifat provokatif menerusi media sosial untuk menghadiri satu perbincangan bersemuka dalam masa terdekat sebagai langkah memperbaiki suasana keharmonian dalam negara.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy dalam kenyataan berkata sesi berkenaan turut diharap dapat menggalakkan persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat selain memastikan isu berbaur provokatif agama tidak berulang pada masa akan datang.
Beliau berkata ia antara perkara dipersetujui oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang ketika pertemuan pihak kementerian itu dan wakil Malaysia Hindu Sangam (MHS) di sini hari ini.
“Menteri (Aaron) menekankan bahawa KPN sentiasa mengambil berat serta menggalakkan persefahaman dan sifat hormat antara penganut agama untuk memastikan setiap individu dapat mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing dengan aman.
“KPN ingin menekankan bahawa keupayaan seluruh rakyat meraikan kemajmukan etnik, kepelbagaian agama serta kekayaan budaya dan tradisi menjadi tunjang kekuatan negara,” katanya.
Menurut Saraswathy inti pati pertemuan KPN dengan MHS antara lain menyentuh isu berkaitan kenyataan berbaur kebencian dan penghinaan agama menerusi media sosial yang disifatkan amat provokatif selain menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial