AM

Kontraktor Lengahkan Pembinaan Rumah Smj Disenarai Hitam - Joachim

13/04/2024 09:05 PM

KOTA KINABALU, 13 April (Bernama) -- Kerajaan Sabah akan menyenarai-hitam mana-mana kontraktor yang melengah-lengahkan pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Timbalan Ketua Menteri ll Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Beliau berkata ini kerana kerajaan negeri tidak mahu rumah untuk rakyat Sabah yang kurang berkemampuan itu lewat disiapkan dan mendapati terdapat kontraktor yang melengah-lengahkan pembinaannya.

“Kita akan melihat punca pembinaan rumah itu lewat. Jika kerana cuaca atau jarak lokasi jauh, mereka (kontraktor yang berdepan situasi itu) akan diberikan elaun khas,” katanya menerusi kenyataan sempena penyerahan Rumah Mesra SMJ di Ranau hari ini.

Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, berkata selagi kerajaan negeri diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS), program Rumah Mesra SMJ di negeri ini akan diteruskan demi membantu rakyat yang memerlukan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang merupakan parti komponen GRS berkata setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah diperuntukkan 20 buah Rumah Mesra SMJ.

Rumah Mesra SMJ yang dilancar kerajaan Sabah pada September 2022, merupakan program pemberian rumah bernilai RM70,000 secara percuma kepada rakyat dengan mengguna pakai konsep Projek  Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi membantu rakyat berada di bawah garis kemiskinan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan