AM

300 PENDUDUK DUN BUKIT PERMAI MASIH TERPUTUS BEKALAN AIR

11/04/2024 10:19 PM

JOHOR BAHRU, 11 April (Bernama) -- Kira-kira 300 penduduk di Kampung Sri Muar dan Kampung Agas di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dekat Kulai masih terputus bekalan air dan hanya bergantung kepada perkhidmatan lori tangki.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Permai Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata mereka merupakan sebahagian daripada lebih 1,000 penduduk termasuk di Gugusan Murni Jaya, Felda Bukit Permai dan sekitarnya yang mengalami gangguan bekalan air menjelang Aidilfitri.

Mohd Jafni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri berkata isu bekalan air yang kerap terputus di kawasan terlibat telah berlaku sejak belasan tahun dan lebih kritikal ketika musim perayaan. 

“Untuk sambutan Syawal tahun ini, lebih 1,000 penduduk meraikan Aidilfitri dalam keadaan sukar kerana tiada bekalan air.

“Ada kawasan yang terputus bekalan air pada malam raya dan ada juga kawasan telah tiga hari tidak ada air seperti di Kampung Sri Muar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau sehubungan itu menggesa agar Ranhill SAJ segera menyelesaikan isu bekalan air yang kerap terputus di kawasan terlibat.

“Saya amat berharap masalah ini boleh diselesaikan segera. Saya telah berusaha menggunakan segala cara dan kaedah untuk membantu memudahkan segala urusan pihak Ranhill SAJ,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan