AM

Pahang Kenal Pasti Dua Lokasi Bina R&r Di Ltu - Wan Rosdy

11/04/2024 09:09 PM

KUANTAN, 11 April (Bernama) -- Dua lokasi dikenal pasti sebagai cadangan pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Pahang bagi kemudahan dan keselesaan pengguna jalan raya, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata dua lokasi yang dicadang itu adalah di antara laluan Bentong ke Raub dan Kampung Kechau Tui di Lipis.

"Ketika ini, status perancangannya adalah dalam tindakan Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR), KKR (Kementerian Kerja Raya), majlis daerah, serta kerajaan negeri sebab ia melibatkan tanah," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di sini, hari ini. 

Beliau juga berkata R&R itu diharap dapat dibina secepat mungkin namun projek tersebut perlu melepasi pelbagai peringkat termasuk kelulusan daripada agensi dan kementerian berkaitan. 

“Perkara ini (pembinaan R&R) tidak boleh disiapkan dalam masa terdekat kerana memerlukan perancangan, kelulusan sana-sini dan peraturan kita tidak kompromi, kena ikut termasuklah membuat kajian tempat yang strategik. Kita akan usahakan dan mengharapkan ia dapat disegerakan,” katanya. 

Beliau juga berkata pengendali R&R tersebut belum diputuskan dan bergantung kepada keputusan LLM selain menambah, buat masa ini tidak ada perancangan untuk mengenakan tol di LTU. 

Mengenai isu sampah yang memenuhi laluan LTU, Wan Rosdy berkata beberapa tong sampah disediakan di kawasan yang dikenal pasti menjadi masalah pembuangan sampah-sarap oleh pengguna jalan raya khususnya ketika musim perayaan. 

“Saya menyeru kepada pemandu supaya mereka sebolehnya janganlah membuang sampah di merata-rata tempat, carilah lokasi yang sesuai,” katanya. 

Sebelum ini tular di media sosial masalah sampah yang memenuhi laluan LTU antara lain disebabkan ketiadaan R&R di lebuh raya tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan