KOTA BHARU, 11 April (Bernama) -- Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kota Bharu akan memasarkan pelbagai jenis muruku di pasaran tempatan menerusi produk Sokongan Untuk Kepulihan Anda (SUKA) yang dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jun depan.
Pengarahnya Adzmiral Nawi berkata produk muruku dipilih kerana kudapan itu sangat dekat dengan pilihan pengguna tanpa mengira agama dan kaum terutama ketika menyambut perayaan masing-masing malah pembuatannya juga sangat mudah serta tidak memerlukan banyak tenaga.
Beliau berkata antara jenis muruku yang dipasarkan nanti adalah muruku bintang, muruku leper, muruku telur masin serta muruku keju dan harga dijual pula bergantung kepada jenis muruku bermula dari harga RM20 hingga RM30 sebekas.
"Kita ketika ini sedang rancang untuk pasarkan produk ini dengan melihat potensi dalam pasaran dan untuk permulaan kita beri kepada keluarga klien rasa muruku ini terlebih dahulu semasa mengadakan lawatan sempena perayaan Aidilfitri.
"Apabila mendapat maklum balas daripada keluarga, kita akan buat promosi pula menerusi platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk menarik perhatian masyarakat di luar dan mana-mana pihak yang mahu kolaborasi serta bantu kami untuk memasarkan produk ini," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Adzmiral berkata produk yang dihasilkan 100 peratus oleh klien serta dibantu oleh beberapa petugas Puspen dapat memberi pendedahan awal kepada mereka cara memproses makanan ini dan memberi manfaat untuk mengusahakannya apabila dibebaskan sekali gus dapat menjana pendapatan.
Katanya, bahan-bahan digunakan untuk membuat muruku juga mudah didapati di pasaran seperti tepung beras, tepung gandum, telur, dan marjerin, malah masa yang diambil untuk siap juga tidak terlalu lama.
"Setakat ini, Puspen Kota Bharu mempunyai 33 klien lelaki berusia 21 tahun ke bawah dan rata-rata mereka hadir ke pusat ini secara sukarela untuk menjalani fasa pemulihan selepas terjebak dengan dadah.
"Alhamdulillah, saya lihat mereka sangat gembira ketika buat muruku ini dan mudah faham ketika diajar malah ada dalam kalangan klien ini mahu jual muruku apabila bebas nanti," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial