EKONOMI

Marii Ambil Langkah Proaktif Perkukuh Kemahiran Juruteknik Industri Ev

09/04/2024 10:40 AM

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Menyedari kerumitan sistem kenderaan elektrik (EV) yang semakin meningkat, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) mengambil langkah proaktif dengan menanganinya menerusi beberapa inisiatif.

Ketua Pegawai Eksekutif Azrul Reza Aziz berkata matlamat utama inisiatif itu untuk memperkukuh kecekapan juruteknik serta meningkatkan standard perkhidmatan menerusi penyelidikan dan membangunkan masa depan pembaikan EV dan segmen selepas pasaran dalam industri EV.

"Pelbagai bentuk inisiatif itu merangkumi latihan, pembangunan kemahiran dan kerjasama dengan pihak berkepentingan industri seperti kedai pembaikan, pengilang EV, pusat pembuatan semula, kemudahan rawatan automotif yang dibenarkan, akademia dan agensi kerajaan.

"MARii juga memainkan peranan penting dalam pembangunan modul dan standard yang disesuaikan dengan EV, bekerja rapat dengan entiti seperti Standard Malaysia dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan, serta badan kerajaan seperti Jabatan Standard Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran," katanya kepada Bernama.

Azrul Reza berkata melalui aktiviti perkongsian pengetahuan dan pembangunan piawaian industri, MARii dapat memupuk persekitaran yang kondusif untuk inovasi dan kecemerlangan dalam segmen pembaikan industri EV.

Beliau berkata institut itu juga mempromosikan penggunaan EV melalui program latihan khusus seperti Latihan Teknologi Kenderaan Hibrid dan Elektrik (HEV Tech).

Program ini melengkapkan juruteknik pembaikan EV dengan pengetahuan dan kemahiran penting yang diperlukan untuk mendiagnosis, melakukan pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan yang berkesan, katanya.

Ia turut merangkumi spektrum sistem EV, memastikan kecekapan menyeluruh berkaitan pengurusan tenaga bateri, komponen pacuan elektrik, sistem pengecasan dan protokol keselamatan.

“Melalui sesi latihan praktikal dan kerja kursus secara teori, juruteknik memperoleh pengalaman praktikal dan pemahaman teori, membolehkan mereka menyediakan perkhidmatan pembaikan berkualiti tinggi untuk EV,” katanya.

Azrul Reza menekankan dedikasi MARii untuk menerajui projek penyelidikan strategik yang berpusat pada ekosistem EV yang lebih luas dan pengurusan tenaga bateri yang mampan.

"MARii menyasarkan untuk mewujudkan protokol pelupusan sisa yang teguh, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, dan menyokong pendekatan kemampanan dalam sektor automotif," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan