EKONOMI

Vistajet Sedia Terima Lonjakan Penerbangan Peribadi Di Malaysia, Dipacu Transformasi Lapangan Terbang Subang

01/04/2024 10:26 AM

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

HONG KONG, 1 April (Bernama) -- Platform penerbangan peribadi Vista Global, VistaJet bersedia memanfaatkan lonjakan permintaan penerbangan peribadi, dipacu oleh Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP).

Ketua Pegawai Komersialnya Ian Moore berkata pemulihan berterusan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang, dijangka meningkatkan lagi permintaan untuk perkhidmatan penerbangan peribadi di Malaysia.

“Dengan lokasinya yang strategik dan infrastruktur yang dipertingkatkan, LTSAAS pastinya akan menarik lebih ramai pelancong jet peribadi yang mencari pengalaman perjalanan premium dan ketersambungan yang lancar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

VistaJet katanya tidak sabar untuk mengadakan lebih banyak penerbangan ke dan dari LTSAAS, sekali gus menyumbang kepada perniagaan di Malaysia dan membantu pertumbuhan ekonomi negara.

Pada 2023, VistaJet memperoleh lebih banyak bahagian pasaran dalam sektor penerbangan peribadi, kini mencakupi lebih lima peratus daripada jumlah bahagian pasaran, hasil daripada prestasi kukuh dan konsisten selama dua dekad.

Syarikat itu telah meningkatkan waktu operasinya di seluruh dunia sebanyak 17 peratus kepada 200,000 jam melalui pertumbuhan dua angka merentas semua destinasi tahun lepas. Bagi rantau Asia Pasifik, ia mencatatkan peningkatan 54 peratus dalam jam penerbangan.

“Setakat ini apa yang menarik bagi Malaysia ialah jumlah penerbangan meningkat kepada kira-kira tujuh atau lapan peratus keluar masuk negara, dan pada masa yang sama keahlian kami meningkat kepada 14, bermakna ahli kami di Malaysia mungkin tidak semestinya menggunakan jet kami untuk terbang masuk dan keluar negara tetapi menggunakan kami di seluruh dunia,” katanya.

Moore berkata kebanyakan pelanggannya berumur antara 50 dan 53 tahun, bagaimanapun, 33 peratus pangkalan pelanggan VistaJet kini berumur di bawah 40 tahun.

Bagi rantau Asia Pasifik, beliau berkata pertumbuhan meningkat dengan ketara pada tahun lepas, walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik COVID-19.

“Rantau ini masih agak baharu untuk jet peribadi berbanding Eropah dan Amerika Utara. Oleh itu, kami menjangkakan pertumbuhan untuk lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

VistaJet dibarisi oleh 300 pesawat, terdiri daripada jet jarak dekat hingga jet berjarak global, termasuk Bombardier Challenger 350, jet Cessna Citation XLS dan Bombardier Global 7500.

“Pada 2023, sejumlah 93 pengubahsuaian pesawat berjaya disiapkan, bermakna lebih 230 pesawat kini menawarkan perkhidmatan ikonik perak dan merah serta menampilkan produk dalam pesawat  yang sama biasa diterima oleh pelanggan,” katanya.

Menyentuh berkenaan pengalaman pelanggan, beliau berkata syarikat itu turut menawarkan program VistaJet Wellness, yang merupakan lanjutan daripada tawaran Private World untuk ahli, merangkumi empat benua dan lebih 20 terapi serta amalan kesihatan untuk semua pelanggan yang ingin meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mereka.

"Kami akan memastikan ahli kami mendarat dengan pengalaman terbaik menerusi pengenalan satu ciri perkhidmatan pra-penerbangan, dalam penerbangan dan selepas penerbangan yang menyokong kesihatan optimum dan mengekalkan tenaga apabila terbang bersama kami," kata Moore, sambil menambah bahawa jet peribadi itu juga menempatkan ruang bagi haiwan peliharaan untuk terbang bersama pemilik mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan