AM

Malaysia Perlu Bijak Imbangi Hubungan Kuasa Besar Demi Pertumbuhan Ekonomi Sihat

26/03/2024 12:24 AM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Malaysia perlu bijak bermain dengan kuasa-kuasa besar dunia termasuk negara Barat dan China untuk meraih pertumbuhan ekonomi yang sihat, selain mendepani cabaran geopolitik dunia dengan bersandarkan dasar yang pragmatik.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Prof Dr Azmi Hassan berkata dasar berkecuali Malaysia adalah sangat penting supaya tidak dilihat terlalu condong kepada mana-mana negara khususnya Amerika Syarikat dan China.

" … atau dengan perkataan lain kita bermain dua kolam tetapi tidak dikatakan berat sebelah. Apa juga keputusan dasar luar kita dengan China adalah untuk memberi kepentingan dan manfaat kepada kita,” katanya dalam Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini malam ini bertajuk “50 tahun hubungan strategik Malaysia-China”.

Beliau berkata lantaran itu, Malaysia perlu mengambil pendekatan memastikan dasar berkecuali tetapi pada masa sama memberi kesan dan impak positif kepada persekitaran geopolitik negara, termasuk di Asia Pasifik dan Indo-Pasifik.

Malah katanya, Malaysia harus mengekalkan hubungan dua hala yang baik dengan China kerana Malaysia merupakan rakan dagangan terbesar dan terpenting demi kepentingan negara. 

Beliau juga percaya dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai karisma melontarkan pandangan di luar negara untuk meneruskan hubungan Malaysia – China yang sekian lama terjalin.

Katanya, hubungan Malaysia dan China memasuki 50 tahun yang bertitik tolak daripada usaha dilakukan oleh Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak yang berani melakukan satu tindakan bijak yang akhirnya mengukuhkan hubungan Beijing – Kuala Lumpur. 

Hubungan usia 50 tahun itu dikecapi pada 31 Mei 1974 dan kemudian disambung hubungan naik taraf kedua-dua negara melalui hubungan komprehensif kerjasama strategik yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan