FOKUS BERNAMA

Ambil Mudah Gejala Antara Kekangan Utama Basmi Tibi - Pakar

01/04/2024 10:40 AM
Daripada Nurqalby Mohd Reda

Artikel ini adalah bersempena dengan Hari Tibi Sedunia yang disambut pada setiap 24 Mac

 

Mengambil mudah gejala yang dialami serta kegagalan pesakit mengikuti rawatan sehingga selesai adalah antara cabaran utama dalam usaha mengekang penularan penyakit tuberkolosis atau tibi di negara ini.

Menurut pakar, dua situasi itu berpotensi meningkatkan kes jangkitan serta mewujudkan kelompok  “drug resistant tuberculosis” atau tibi rintangan ubat-ubatan (tibi kebal).

“Keadaan ini membimbangkan kerana Malaysia menunjukkan trend peningkatan dalam tempoh tiga tahun lepas,” kata Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa, Pakar Perunding Respiratori dan Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway Velocity kepada Bernama.

Memetik data Kementerian Kesihatan, sebanyak 26,781 kes tibi dilaporkan pada 2023, iaitu pertambahan 5.47 peratus berbanding 25,391 kes pada tahun sebelumnya, sementara pada 2021 pula sebanyak 21,727 kes direkodkan.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni, daripada jumlah kes yang direkodkan pada tahun lepas, 22,680 adalah warga tempatan dan baki, iaitu 4,101 kes atau 15.3 peratus merupakan warga asing.

“Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi jangkitan tibi pada tahun lalu dengan 5,814 kes, diikuti Selangor (5,631 kes) serta Sarawak yang merekodkan 3,177 kes,” kata timbalan menteri itu pada persidangan Dewan Negara 18 Mac lepas.

 

MEMBIMBANGKAN

Mengulas lanjut kes tibi atau batuk kering di negara ini, Dr Nurul Yaqeen berkata lebih membimbangkan adalah situasi beberapa negara termasuk di rantau Asia Tenggara yang dihuni oleh kira-kira satu perempat daripada populasi dunia dan menyumbang 45 peratus kepada beban kes tibi tahunan, iaitu kes baharu setiap tahun.

pic-2

“Dianggarkan pada 2022, lebih 4.8 juta orang jatuh sakit kerana tibi dan lebih daripada 600,000 orang meninggal dunia (pada tahun sama) kerana penyakit itu di rantau ini.

“Rantau Asia Tenggara juga menyumbang lebih 38 peratus kepada anggaran kejadian global pesakit tibi kebal,” katanya, menambah pada 2022,  kira-kira 170,000 pesakit tibi di rantau itu dikenal pasti sebagai pesakit tibi kebal, dan hanya 74,300 yang didaftarkan bagi menerima rawatan.

Menurut beliau, antara negara yang merekodkan kes tibi tertinggi di Asia ialah Bangladesh, India, Indonesia, Myanmar dan Thailand, sementara Nepal dikategorikan sebagai negara “hot spot” dengan kes tertinggi tibi kebal. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan sebelum ini, menyatakan kira-kira 10.6 juta orang dijangkiti tibi pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 4.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kebanyakan penghidap tibi pada 2021 itu berada di Asia Tenggara (45 peratus), Afrika (23 peratus) dan rantau Pasifik Barat (18 peratus).

WHO turut meletakkan pandemik COVID-19 sebagai punca kebangkitan semula penyakit tibi.

Menurut WHO, kes batuk kering meningkat pada 2021, buat kali pertama dalam tempoh lebih 20 tahun, didorong oleh pandemik COVID-19 yang mengganggu akses kepada diagnosis dan rawatan.

Pertubuhan itu turut melaporkan penyakit tersebut telah meragut anggaran 1.5 juta nyawa pada 2020 dan 1.4 juta pada 2019.

 

MAUT, LUMPUH, BUTA 

Menurut Dr Nurul Yaqeen, faktor kuman tibi amat mudah merebak melalui udara, rembesan bendalir badan seperti air liur dan kahak, serta melalui sentuhan dan darah, menjadikan penyakit itu mudah berjangkit dalam kalangan ahli masyarakat.

pic-3

Risiko adalah lebih tinggi jika pesakit tibi berada dalam satu kelompok atau tempat tinggal yang sama dengan individu lain.

“Kuman batuk kering ini paling mudah merebak dalam kalangan ahli keluarga kerana ahli keluarga berkongsi sistem pengudaraan yang sama di rumah selain  berhubung rapat antara satu sama lain.

“Begitu juga rakan sekerja yang merupakan kontak rapat kepada pesakit tibi. Mereka boleh dijangkiti tibi apabila berada bersama-sama pesakit di dalam ruang tertutup melebihi lapan jam sehari  selama dua  atau tiga bulan,” kata beliau.

Namun kata Dr Nurul Yaqeen, lebih membimbangkan adalah apabila ada ahli masyarakat yang mempunyai tanda atau gejala penyakit itu namun tidak diberi endah yang sewajarnya, sekali gus meningkatkan risiko menjangkiti orang lain.

“Antara simptom utama tibi  ialah batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah,” jelasnya, menambah ada juga kes penghidap tidak tahu mereka telah dijangkiti lantaran tidak menunjukkan gejala.

Menurut beliau lagi, tempoh kuman tibi itu aktif selepas menjangkiti seseorang juga bergantung pada tahap imunisasi individu tersebut.

“Sesetengah orang yang dijangkiti akan mendapat penyakit tibi sebaik sahaja dijangkiti, iaitu sebelum sistem pertahanan badan mereka sempat melawan kuman-kuman tibi.

“Bagi sesetengah individu lain pula, mereka hanya akan jatuh sakit beberapa tahun kemudian apabila kuman yang dahulunya diam di dalam badan, menerima isyarat daripada daya tahan badan yang lemah dan bertindak balas semula,” jelasnya.

Beliau berkata tempoh rawatan yang panjang, iaitu selama enam bulan serta boleh dilanjutkan hingga setahun, turut mendatangkan masalah apabila ramai pesakit gagal menghabiskan rawatan mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Apabila pesakit tibi tidak dapat menghabiskan rawatan seperti yang dijadualkan, keadaan ini akan membawa kepada keadaan penyakit tibi kebal yang lebih sukar dirawat dan memerlukan tempoh masa rawatan lebih panjang.

“Jangan pandang remeh kerana walaupun kebiasaannya kuman tibi menyerang paru-paru (tuberkolosis pulmonari), ia juga boleh menyerang dan merosakkan organ-organ lain termasuk buah pinggang, kulit, mata, kelenjar leher, tulang dan otak.

“Keadaan ini boleh mengakibatkan kegagalan organ dan seterusnya membawa maut,” jelas beliau, menambah jangkitan tibi juga boleh menyebabkan buta dan lumpuh.

Ditanya tentang tempoh yang diambil untuk seseorang pesakit mengalami keadaan itu, beliau berkata hal tersebut bergantung pada tahap dan jenis tibi yang dihidapi oleh individu berkenaan.

“Sekitar beberapa minggu hingga beberapa bulan... dan pesakit boleh maut dalam tempoh tersebut sekiranya tidak dirawat dengan betul,” ujarnya.

 

KERJASAMA MENYELURUH

Bagaimanapun kata Dr Nurul Yaqeen, melihat pada situasi penyakit itu, kebanyakan negara terlibat menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menangani penularan tibi, seiring dengan matlamat WHO yang menyasarkan 2035 sebagai tahun dunia bebas tibi.

pic-4

Katanya, kesungguhan WHO dalam merealisasikan matlamat itu dicerminkan menerusi tema sama Hari Tibi Sedunia untuk dua tahun berturut-turut, iaitu “Kita Boleh Tamatkan Tibi” (Yes! We can End TB) pada tahun lepas dan tahun ini.

“Tema yang digunakan buat kali kedua ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat dengan lebih mendalam tentang pentingnya usaha menghapuskan tibi,” katanya yang percaya tahap kesedaran masyarakat masih rendah berdasarkan jumlah jangkitan.

Hari Tibi Sedunia disambut pada 24 Mac setiap tahun.

Dalam pada itu, Dr Nurul Yaqeen optimis Malaysia mampu menangani penularan penyakit tibi dan memenuhi sasaran WHO untuk menamatkan epidemik tibi.

Namun katanya, pencegahan, kawalan dan rawatan bagi jangkitan tibi perlu dilakukan secara konsisten dan menyeluruh membabitkan semua pihak.

“Kerjasama semua pihak, merangkumi kerajaan dan masyarakat, adalah perlu kerana tahap kesedaran masyarakat masih rendah,” kata beliau.

Memuji usaha yang diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam membasmi tibi, Dr Nurul Yaqeen bagaimanapun mengesyorkan beberapa penambahbaikan termasuk meningkatkan kemudahan pengesanan tibi bagi membolehkan ahli masyarakat menjalani saringan dengan  lebih cepat.

KKM sebelum ini mengumumkan yang ia sedang berusaha memperoleh mesin Ultra Portable X-ray bagi membantu mengesan penyakit tibi di lapangan atau di luar fasiliti kesihatan, terutamanya di kawasan pedalaman atau yang mempunyai masalah logistik untuk ke fasiliti kesihatan.

Setakat tahun lalu (2023), kementerian itu telah menempatkan 62 unit ujian pantas molekular di seluruh negara bagi pengesanan awal penyakit tibi dan tibi kebal. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan