KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Syarikat perkhidmatan penjagaan kesihatan mudah alih UCrest Bhd dan platform pembayaran digital beribu pejabat di Rwanda, StayOnline Ltd menandatangani perjanjian perkongsian perniagaan untuk mengintegrasikan gerbang pembayaran dalam taliannya kepada platform penjagaan kesihatan digital UCrest - iMedic.
Pengerusi UCrest Eg Kah Yee berkata gerbang pembayaran dalam talian bersepadu dengan StayOnline akan tersedia dalam tempoh beberapa bulan memandangkan syarikat itu bercadang untuk mendigitalkan industri penjagaan kesihatan di negara Afrika tertentu seperti Rwanda, Kenya, Uganda dan Zambia.
Menurutnya perkongsian itu akan membolehkan peniaga StayOnline untuk meluaskan dan memasarkan perniagaan dan perkhidmatannya ke Asia menerusi platform pembayaran bersepadu.
“IMedic kini terdapat di Afrika. Buat masa ini syarikat itu menggunakan gerbang sendiri. Sebaik sahaja kami meraih perjanjian dengan StayOnline dalam tempoh beberapa bulan akan datang, gerbang pembayaran bersepadu ini akan tersedia.
“Kami berhasrat untuk memperkasa hospital dengan kecerdasan buatan (AI) iMedic dan kami mempunyai perjanjian untuk menubuhkan pusat kecemerlangan bagi institut penyelidikan penjagaan kesihatan digital di Rwanda untuk mewujudkan hab teknologi perubatan ini,” katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini.
Eg berkata pusat kecemerlangan ini akan berperanan sebagai platform untuk penyelidikan dan pembangunan bagi Internet Perkara Perubatan (IoMT) dan AI dalam industri penjagaan kesihatan.
“Melalui tawaran perkhidmatan kesihatan digital dalam platform bersepadu, kami bukan sahaja memperluas perkhidmatan kepada semua individu di negara ini, malah di seluruh Afrika dan dunia,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif StayOnline Desire Muhinyuza berkata kerjasama itu akan mewujudkan era baharu penjagaan kesihatan digital, bukan sahaja di Rwanda malah di Afrika.
Menurutnya dengan kepakaran dan perkhidmatan UCrest, syarikat itu boleh memanfaatkan platform pembayaran digital, mencapai sebanyak 200,000 hingga 800,000 transaksi sehari daripada 480 juta jumlah penduduk Afrika Timur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial