AM

KERAJAAN TIDAK PERNAH 'TAHAN' PERUNTUKAN KEPADA NEGERI-NEGERI, TERMASUK TERENGGANU - PM ANWAR

21/03/2024 10:51 AM

PUTRAJAYA, 21 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perpaduan tidak pernah ‘menahan’ sebarang pemberian Persekutuan kepada mana-mana negeri termasuk Terengganu, malah agihan peruntukan ke negeri itu ditingkatkan tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata agihan peruntukan Belanja Pembangunan bagi Terengganu ditingkatkan kepada RM1.59 bilion tahun ini berbanding RM1.55 bilion pada 2023.

“Belanjawan pemberian Persekutuan kepada Terengganu di bawah Kerajaan Perpaduan lebih daripada kerajaan terdahulu,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Beliau berkata tidak wujud istilah bahawa kerajaan pimpinannya bersifat zalim terhadap Terengganu memandangkan kerajaan telah melunaskan pemberian wang ihsan untuk negeri itu berdasarkan hasil petroleum tahun 2023, iaitu sebanyak RM786 juta.

“(Selain wang ihsan), bayaran pemberian Persekutuan kepada Terengganu pada 2022 ialah RM399 juta, 2023 kita tambah menjadi RM413.64 juta, dan 2024 ada tambahan lagi… (jadi) zalim macam mana?” katanya.

Perdana Menteri berkata Terengganu mencatatkan jumlah rakyat miskin yang ramai, justeru kerajaan mengambil pendekatan menyalurkan terus peruntukan kepada mereka yang memerlukan (di negeri itu) tanpa melalui mana-mana Ahli Parlimen (MP). 

“Belanja Pembangunan lebih daripada jumlah yang disebut wang ihsan itu, tetapi salurannya terus kepada projek rakyat.

“Kalau ada kecemasan atau yang mendesak, contoh hakisan di Tasik Kenyir, kita terus beri peruntukan untuk segerakan projek itu,” katanya.

Katanya beliau juga telah mengingatkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan peruntukan setiap kawasan tidak kira PAS atau Bersatu, harus diberikan kepada semua.

“Cuma kita tak bagi melalui Ahli Parlimen, kita beri pada rakyat. Kita tumpu pada miskin, kalau miskin tegar, tak kira dia ahli parti mana, di kawasan mana, kita bantu tanpa pilihan sama ada kaum, agama, kawasan atau parti,” kata perdana menteri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan