AM

PKNS NAFI KOMPLEKS PKNS SHAH ALAM AKAN DIROBOHKAN

18/03/2024 10:32 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menafikan dakwaan yang tular di media sosial dan laporan akhbar mengenai cadangan merobohkan Kompleks PKNS Shah Alam yang berusia lebih empat dekad itu.

PKNS dalam kenyataan hari ini menyatakan kekesalan terhadap dakwaan yang tidak berasas dan akan membuat laporan polis serta melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkenaan penyebaran berita yang tidak benar itu.

“PKNS ingin menegaskan bahawa tidak ada perancangan untuk merobohkan kompleks ini.

“Kompleks PKNS yang berusia 47 tahun itu merupakan satu daripada mercu tanda di Shah Alam dan memainkan peranan yang penting dalam menyediakan perkhidmatan perniagaan dan kemudahan kepada penduduk sekitar,” menurut kenyataan itu.

Menurut PKNS perancangan projek di dalam kawasan pembangunan milik PKNS di pusat bandar Seksyen 14 tersebut merupakan sebahagian daripada usaha peremajaan bandar di Shah Alam yang dijangka bermula suku ketiga tahun ini. 

“Projek yang menelan belanja kira-kira RM2 bilion ini akan melibatkan beberapa plot kawasan di pusat bandar Seksyen 14 termasuk SACC Mall dan Pusat Konvensyen SACC yang dari peringkat awal projek ia sama sekali tidak melibatkan bangunan Kompleks PKNS.

“Sebaliknya kawasan ini akan dinaik taraf untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik dan selesa serta memberikan pengalaman lebih memuaskan kepada pengunjung dan komuniti setempat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan projek peremajaan berkenaan juga seiring dengan usaha PKNS dalam membantu menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya sifar karbon dengan bangunan yang dinaik taraf akan menggunakan sistem centralised chill water selain sistem tenaga hijau.

“Ia juga sebagai memenuhi komitmen PKNS dalam menyumbang kepada pembangunan bandar yang mampan serta peningkatan taraf sosioekonomi Selangor secara keseluruhan.

“Sepanjang proses menaik taraf ini, operasi perniagaan di Kompleks PKNS akan berlangsung seperti biasa dan pengunjung akan bebas membeli barang keperluan mereka,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan