AM

22 JUTA UMAT ISLAM BELANJA RM5.4 BILION DI BAZAR RAMADAN - AHMAD ZAHID

16/03/2024 09:59 PM

TANAH MERAH, 16 Mac (Bernama) -- Sebanyak 22 juta umat Islam didapati berbelanja hampir RM5.4 bilion di bazar Ramadan di seluruh negara berdasarkan kajian Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, beliau mengingatkan kepada umat Islam agar bersederhana ketika berbelanja pada bulan puasa dan mengelak pembaziran.

"Berbelanja itu pastinya boleh tetapi sentiasa ingat, jangan membazir … ia bertentangan dengan hakikat Ramadan yang seharusnya menjadi bulan mendidik umat Islam agar bersederhana. Kita dapati bahawa secara purata 850 kilogram (makanan) dibazirkan setiap individu," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Mukim Batang Merbau di sini hari ini.

“Saya tahu di Kelantan, bulan Ramadan bagaikan pesta makanan, tambahan pula negeri ini sangat terkenal dengan makanan yang sedap-sedap dan pelbagai kuih-muih. 

“Puasa, puasa juga tetapi jangan sampai berlakunya pembaziran serta berbelanja melebihi keperluan dan mengikut nafsu semata-mata,” katanya.

Beliau turut menasihati umat Islam agar bulan Ramadan dijadikan tempoh latihan untuk mendisiplinkan diri dengan berkongsi rasa kesusahan terhadap golongan yang memerlukan dan menyemai sikap berjimat cermat.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyerahkan sumbangan berjumlah RM293,300 untuk 475 masjid dan madrasah di kawasan Kesedar bagi mengimarahkan institusi itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan