AM

KAJIAN SSPA: TEMPOH KERJA SINGKAT BANTU WANITA SEIMBANG KERJAYA DAN KELUARGA

15/03/2024 09:11 AM

Oleh Yasmin Ahmad Zukiman

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Sejak diumumkan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan mengambil kira tempoh bekerja lebih pendek bagi penjawat awam wanita, ramai golongan hawa melihatnya sebagai prospek positif ke arah meningkatkan penglibatan mereka dalam dunia pekerjaan.

Hakikatnya, isu wanita terpaksa melupakan keinginan untuk bekerja bagi mengurus keluarga sudah lama berantaian, tetapi entah mengapa sehingga ke hari ini masih belum ada jalan penyelesaian biarpun pelbagai usaha dilakukan sebelum ini. 

Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Novel Lyndon berkata pelaksanaan inisiatif itu menepati hasrat kerajaan untuk memastikan sasaran 60 peratus penyertaan tenaga buruh wanita di negara ini.

Pelaksanaan itu katanya akan menyelesaikan pelbagai isu yang menghantui wanita bekerja seperti terpaksa menghantar anak ke pusat jagaan dan kekangan untuk mengikuti proses pembelajaran anak.  

“Usaha kerajaan ini juga bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan dan proses interaksi dalam kalangan ahli keluarga tetapi turut membantu pasangan yang mempunyai anak kecil atau yang baharu berkahwin untuk menguruskan keluarga dengan seimbang.

"Wanita memainkan peranan domestik untuk menjaga atau mengurus ahli keluarga, selain mereka juga mencari rezeki bagi membantu suami serta bagi tujuan pembangunan kerjaya,” katanya kepada Bernama.

Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kajian SSPA yang sedang dirangka akan turut mengambil kira memberi kelonggaran kepada penjawat awam wanita untuk bekerja dalam tempoh lebih pendek supaya dapat memberi lebih perhatian kepada keluarga.

Berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, Anwar berkata kelonggaran itu mungkin akan melibatkan kadar upah yang berbeza dan menuntut perubahan daripada pemikiran konvensional, memandangkan terdapat wanita yang terpaksa meninggalkan kerjaya bagi memberi perhatian kepada keluarga.

Walaupun melihat kajian SSPA ini sebagai langkah positif, namun Novel berkata kajian itu juga harus mengenal pasti sasaran wanita yang terlibat dalam semakan berkenaan, sama ada wanita bujang, tidak mempunyai komitmen dan tidak berkahwin turut dimasukkan dalam cadangan tersebut, serta adakah semakan itu akan mengganggu senioriti dan pembangunan kerjaya mereka.

Sementara itu, Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran Malaysia Fauzura Mat Yusoff berkata inisiatif itu jika dilaksanakan mampu memberi ruang kepada golongan wanita untuk mengatur kerjaya dan urusan rumah tangga dengan lebih baik, sekali gus menjadikan mereka lebih produktif. 

“Ia adalah situasi menang-menang yang mana wanita yang juga berperanan sebagai ibu dapat melaksanakan kehidupan dengan seimbang, mereka dapat bekerja menambah pendapatan dan pada masa sama memberikan lebih perhatian dan masa untuk keluarga.

“Kalau dilaksanakan, masalah utama berkaitan penjagaan anak-anak dapat dikurangkan walaupun bukan penyelesaian 100 peratus tetapi secara tidak langsung mampu meringankan beban,” kata Fauzura yang juga ibu kepada seorang anak perempuan berusia sembilan tahun. 

Pegawai Penerangan di Jabatan Penerangan Negeri Pahang Zayana Zahira Mohd Isa, 41, berkata kajian SSPA berhubung tempoh bekerja lebih pendek bagi wanita ialah usaha positif untuk golongan berkeluarga, namun perkara itu bergantung kepada kaedah pelaksanaan supaya tidak menjejaskan produktiviti pekerja. 

“Saya cadangkan jadual penggiliran kerana ramai wanita yang bekerja di pejabat. Kalau semua balik awal atau tempoh masa kerja dipendekkan, boleh menjejaskan perkhidmatan di tempat kerja,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan