AM

KEMARAU DI PAPAR, IBU BAPA SARAN SEKOLAH BERI PENERANGAN

15/03/2024 12:16 AM

PAPAR, 14 Mac (Bernama) -- Ibu bapa di sini menyarankan pihak sekolah supaya memberikan penerangan dan pendedahan kepada pelajar mengenai perubahan cuaca di kawasan itu bagi memastikan pelajar tidak melakukan perkara yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada mereka.

 Penjawat awam Ziela Abu Bakar, 48, berkata maklumat itu penting agar pelajar terutama murid sekolah rendah benar-benar faham tentang keadaan di daerah itu berikutan pengisytiharan Papar sebagai kawasan bencana kemarau, bermula semalam.

"Sebagai ibu bapa sudah tentu kami memberitahu anak-anak tentang cuaca panas tetapi pihak sekolah juga perlu membuat pendedahan atau kempen mengenai perubahan cuaca kerana mereka terdedah kepada haba yang panas ketika ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau juga berharap semua ibu bapa dapat bekerjasama erat dengan pihak sekolah dalam memastikan keselesaan dan keselamatan anak mereka ketika musim kemarau ini.

Semalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Papar dalam kenyataan mengisytiharkan daerah itu yang terletak kira-kira 38 kilometer dari Kota Kinabalu, sebagai kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas.

Bernama hari ini melaporkan Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin sebagai berkata sesi persekolahan di 62 sekolah di sini beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, Dr Mohd Ruzaini Mohd Ridhwan yang berkhidmat di sebuah klinik swasta di Kimanis di sini berkata pelajar dan penduduk setempat boleh diberikan pendedahan mengenai cara bagaimana menghadapi cuaca panas dan berjerebu seperti selalu memakai pelitup muka.

“Jangan terlalu lama di luar, minum air yang banyak dan sentiasa menjaga kebersihan diri juga perlu dipraktikkan pelajar.

"Saya percaya pihak sekolah boleh memberi pendedahan mengenai perkara ini dengan bantuan ibu bapa,” katanya.

Pekerja swasta Rafizah Dahali, 39, pula berkata sesi persekolahan anak-anaknya masih berjalan seperti biasa dan beliau berharap pihak sekolah mengurangkan aktiviti luar ketika ini.

Walaupun bimbang cuaca panas akan memberi kesan kepada dua anaknya berumur 13 dan lapan tahun, namun beliau yakin para guru tahu apa yang harus dilakukan untuk mengawal murid-murid ketika mereka berada di sekolah.

"Mungkin kelonggaran dari segi pakaian boleh dipertimbangkan sepanjang bencana kemarau ini berlaku untuk keselesaan murid, contohnya memakai pakaian sukan dan mengurangkan beban dalam beg sekolah," katanya.

Seorang lagi pekerja swasta Sumari Serman, 40, berkata setakat ini anak-anaknya masih meneruskan sesi persekolahan seperti biasa apatah lagi minggu pertama pembelajaran baru sahaja bermula dan pihak sekolah tidak menjalankan aktiviti luar kelas minggu ini.

"Sekolah tidak jalankan aktiviti luar kelas buat masa ini jadi sebagai ibu bapa kita rasa legalah sikit," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan