KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Ketua jurulatih Tenaga Nasional Berhad (TNB) Nor Saiful Zaini Nasiruddin mencadangkan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim depan dijalankan secara liga dua pusingan selain mewujudkan semula saingan divisyen satu.
Beliau berkata selain menyaksikan setiap pasukan boleh bermain dengan aksi timbal balik iaitu bermain di tempat lawan dan sendiri, penyertaan pasukan juga boleh dibahagikan mengikut standard ditetapkan.
“Sesetengah pasukan ada yang kami menang dengan lebih 20 gol mungkin boleh beralih ke divisyen satu dan untuk premier kita perlu letak (pasukan) yang sama standard, agak rendah boleh tapi tidak terlalu banyak jurang (standard).
“Apabila bermain kami perlu beri yang terbaik sebab itu (menang) sampai 15, 17 dan 20 gol. Sudah tentu kami seronok sebab jaring banyak gol tapi untuk (kebaikan) liga mungkin kena pisahkan. Itu pandangan saya,” katanya ketika ditemui selepas final Piala TNB 2024 di sini.
Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam, skuad bimbingan Nor Saiful menewaskan juara bertahan Terengganu Hockey Team (THT) 4-2 sekali gus mengesahkan kejuaraan trebel musim ini.
Kejayaan itu menambah koleksi kejuaraan TNB selepas turut muncul juara Piala Sumbangsih dan mengungguli saingan LHM 2024.
Sebanyak 11 pasukan bertanding dalam saingan kategori lelaki LHM 2024.
Kali terakhir saingan LHM dijalankan secara dua divisyen iaitu premier dan divisyen satu adalah pada 2018 manakala kali terakhir berlangsung secara liga dua pusingan adalah pada tahun lepas, menyaksikan lapan pasukan bertanding.
Sebagai rekod, TNB menewaskan JM Antsbees 22-1 yang menjadi kemenangan terbesar liga musim ini, selain turut merakam kemenangan 15-1 mengatasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menjinakkan Kuala Lumpur City 13-0.
TNB juga membelasah Kuala Lumpur City 17-1 pada aksi suku akhir kedua Piala TNB.
Sementara itu, Nor Saiful berkata pasukan sedia mempertimbangkan untuk terus menggunakan khidmat pemain kebangsaan Korea Selatan Jang Jong Hyun yang sudah berusia 40 tahun.
“Mungkin terlalu awal untuk bercakap mengenainya (kekal atau tidak) sebab dia (Jang) juga sudah berusia 40 tahun. Kalau dia mahu terus bersama kami dan tahap kecergasannya baik, kami akan mempertimbangkannya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial