SEREMBAN, 7 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyeru lebih banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), korporat dan swasta untuk mengambil peluang membantu golongan kurang berkemampuan menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pihaknya bersedia untuk bekerjasama memberikan data dan maklumat golongan sasar terbabit bagi memudahkan proses pengagihan bantuan sekali gus meringankan beban mereka.
“Setiap tahun pada Ramadan memang banyak sukarelawan, NGO dan pihak korporat menerusi program korporat sosialnya (CSR) memberi sumbangan dan langkah itu kita memang alu-alukan dan galakkan lebih ramai lagi tampil membantu mereka yang memerlukan.
“Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang. Memang semua pihak perlu bersama santuni mereka, ia bukan sahaja (tanggungjawab) kerajaan tetapi semua pihak mempunyai peranan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Kempen Happening Raya' di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Beliau berkata usaha berkenaan juga merupakan platform untuk menyatupadukan dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan bersama orang ramai.
Menurutnya, kementerian sentiasa menyambut baik segala usaha yang dilaksanakan oleh syarikat korporat dan swasta untuk memperkasa institusi kemasyarakatan dalam pengoperasian perniagaan mereka.
Noraini berkata kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sentiasa berusaha mendekati golongan sasar untuk diberi perhatian dan terkini pihaknya telah mengenal pasti individu serta keluarga kurang berkemampuan yang akan dibantu untuk persiapan Aidilfitri mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial