AM

Yayasan Rythm Perkenal Mll 2.0, Perkasa Pendidikan Dan Masa Depan Remaja Perempuan

06/03/2024 12:59 AM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Yayasan RYTHM, sebuah inisiatif impak sosial bagi konglomerat antarabangsa Kumpulan QI, baru-baru ini memperkenalkan Makmal Pembelajaran Maharani (MLL) 2.0 iaitu ruang yang menawarkan bimbingan kepada remaja perempuan khususnya daripada keluarga B40.

Pengerusi Yayasan RYTHM Datin Seri Umayal Eswaran berkata MLL 2.0 menyediakan latihan bagi mata pelajaran utama seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Sains dan Metamatik kepada peserta untuk cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain akses kepada sokongan akademik selepas sekolah, program digital dan sesi pemerkasaan.

Bagi latihan digital ia merangkumi program seperti Canva, Microsoft Office dan pengekodan, manakala inisiatif pembangunan insan pula bertujuan meningkatkan kesedaran diri, keyakinan, kemahiran komunikasi dan kepimpinan.

"MLL 2.0 merupakan satu daripada banyak inisiatif yang dilaksanakan oleh yayasan secara aktif dalam memerangi ketidaksaksamaan gender dengan cara memberikan peluang pendidikan, menggalakkan remaja perempuan mengejar cita-cita mereka, memupuk kemahiran kepimpinan dan menangani jurang sosial yang merugikan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelacaran MLL 2.0 di Damansara Damai, di sini yang turut dihadiri Ketua Yayasan RYTHM Santhi Periasamy.

Sementara itu seorang ibu M. Subhashini berterima kasih kepada yayasan tersebut dan inisiatif MLL kerana anak perempuannya, M.Keshanashre, 14, yang menyertai program tersebut telah memperlihatkan banyak perubahan positif terutama dari segi pandangan terhadap sekolah dan masa depannya.

“Dia telah membina minat baharu dan belajar untuk menguruskan masa dengan lebih baik. Saya harap MLL akan diteruskan dan melibatkan lebih ramai anak gadis bagi membantu mereka mengembangkan potensi diri bukan setakat berkaitan sekolah, kerja rumah dan peperiksaan,” katanya.

Seorang lagi peserta MLL, Afiqah Umairah Asbarihan, 16, berkata program itu telah membimbingnya ke arah perubahan yang lebih bermakna terutama pendekataan terhadap pembelajaran dan visi masa depannya.

“MLL bukan sekadar tempat untuk belajar tetapi juga tempat saya mendapatkan bimbingan dalam mengharungi kehidupan remaja. Melalui bimbingan dan sokongan yang diterima, saya semakin kuat dalam memecahkan tembok halangan dan cabaran stereotaip,” katanya.

MLL yang bermula pada 2015 sebagai pusat pembelajaran di Sungai Siput, Perak, mengubah hala tuju dengan memfokus kepada komuniti berhampiran ibu pejabat yayasan itu di Lembah Klang.

MLL merupakan komponen dalam Maharani, inisiatif utama yayasan tersebut bersama-sama Program Sekolah Maharani (MSP) yang mendapat sokongan Kementerian Pendidikan, iaitu langkah penting ke arah menawarkan sumber dan sokongan kepada remaja perempuan di negara ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai yayasan dan inisiatif lain layari www.rythmfoundation.org.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan