AM

Toyo Tyre Peruntuk Rm1.8 Juta Untuk Bantuan Kewangan Pendidikan Sejak 2013

05/03/2024 11:29 PM

TAIPING, 5 Mac (Bernama) -- Kilang pembuatan tayar yang berpangkalan di Taiping, Toyo Tyre Malaysia Sdn Bhd (TTM) memperuntukkan sejumlah RM1.8 juta menerusi program Bantuan Kewangan Pendidikan sejak ia mula dilaksanakan pada 2013.

Presiden dan Pengarah Urusan TTM Mike Toh berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu telah memberi manfaat kepada 47 pelajar universiti dengan 31 daripadanya berjaya menamatkan pengajian di  universiti tempatan dan 413 murid sekolah rendah daripada keluarga yang kurang berkemampuan di sekitar Taiping.

Beliau berkata setiap pelajar universiti yang layak menerima bantuan kewangan sebanyak RM4,000 setahun sehingga tamat pengajian, manakala murid sekolah pula mendapat RM2,400 setahun.

"Kemelesetan ekonomi baru-baru ini menyebabkan ramai ibu bapa bergelut untuk menampung keperluan hidup ditambah dengan kesan kadar inflasi yang memberi impak kepada kos sara hidup.

"Itulah sebabnya kami percaya adalah penting untuk meneruskan usaha dalam membantu pelajar yang menghadapi kesusahan dan memastikan mereka mempunyai peluang yang sama untuk melanjutkan pelajaran, seterusnya dapat membendung keciciran pelajaran," katanya pada majlis penyampaian bantuan itu di sini hari ini. 

Beliau berkata pada tahun ini, program Bantuan Kewangan Pendidikan memperuntukkan sebanyak RM179,600 kepada 50 penerima terdiri daripada 41 murid sekolah rendah dan sembilan pelajar universiti.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan